BEKAS Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin memuji kesediaan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi jika jawatannnya itu dipertandingkan.
Perkara itu dikongsikan Khairy menerusi media sosialnya selepas dia bertembung dengan Ahmad Zahid di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 pada Khamis.
Menurut Khairy, ketika bersalaman dengan Ahmad Zahid, penyadang jawatan presiden parti itu sempat memaklumkan yang dia 'ready to fight'.
"Alhamdulillah pagi tadi saya dah bertembung dengan Presiden Umno. Sambil saya salam beliau berkata 'ready to fight'.
"Presiden bersedia untuk berdepan dengan sebarang cabaran dalam pemilihan Umno.
"Maksudnya, presiden sendiri berani. Datuk Seri Zahid, saya salute kepada beliau, beliau tak takut.
"Maknanya, kalau ada sebarang usaha untuk menutup demokrasi dalam Umno dengan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, maka ia bertentangan dengan keberanian presiden sendiri.
"Let’s be brave (ayuh jadi berani), buka ruang untuk demokrasi dalam Umno. Buka semua jawatan untuk dipertandingkan," katanya.
Perebutan jawatan Presiden Umno menjadi tumpuan ramai kerana terdapat desakan yang mahukan supaya semua jawatan dalam parti itu dipertandingkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram