Sokong Anwar bukan alasan, KJ sebenarnya mahu Zahid kalah — Veteran Umno


  • Politik
  • Rabu, 11 Jan 2023

Sejak PRU14 lagi, Khairy dilihat sudah tidak sebulu dengan Ahmad Zahid.

PERHIMPUNAN Agung Umno 2022 baru sahaja membuka tirainya pada Rabu tetapi sudah bermacam cerita melibatkan kepimpinan parti tersebut.

Satu daripadanya adalah kenyataan daripada Bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang mengaku akan terus menyokong kerajaan perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya dia atau sekutunya menjadi presiden parti.

Ada yang beranggapan bahawa kenyataan Khairy itu umpama menafikan sokongan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi secara terbuka.

Senada dengan pandangan itu, veteran Umno, Datuk Mustapha Yaakub berkata, Khairy sebenarnya sudah lama tidak bersetuju dengan kepimpinan Umno sekarang.

WhatsApp Image 2023-01-11 at 5.44.40 PM

Mustapha melihat Khairy sudah lama tidak sebulu dengan Presiden Umno. — Umno Online

"Bukan rahsia lagi. Semuanya bermula selepas Barisan Nasional kalah dalam Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Khairy telah menawarkan diri untuk bertanding jawatan presiden bersama Tengku Razaleigh Hamzah melawan Zahid dan dia kalah dalam pertandingan itu.

"Sejak itu, Khairy terus menerus tidak sehaluan dengan Zahid hingga sekarang. Semasa berkempen dalam PRU15 pun, dia secara terbuka menyatakan hasratnya untuk bertanding presiden. Jadi kenyataan terbaharunya tidak mengejutkan," katanya kepada Majoriti.

Menurut Mustapha, sokongan Umno kepada Anwar juga bukan alasan tetapi sebab sebenarnya adalah dia (Khairy) mahu melawan dan mengalahkan Zahid.

"Kalau tidak, masakan Khairy berkata kalau dia dan gengnya menang, maka sokongan akan diberikan kepada Anwar.

"Pertanyaan saya ialah, kalau dia nak jadi Presiden Umno kerana mahu menyokong Anwar, maka sekarang Zahid telah pun menyokong Anwar. Apa keperluan presiden ditukar," katanya.

Tambahnya, dia juga melihat apa yang dilakukan Khairy bukannya strategi untuk meraih sokongan, tetapi adalah satu alasan untuknya bertanding merebut jawatan presiden parti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram