DATUK Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyerahkan kepada perwakilan Perhimpuan Agung Umno (PAU) 2022 untuk menentukan jawatan dipertandingkan pada pemilihan parti itu.
Kenyataan Presiden Umno itu sekali gus menjawab tanda tanya berhubung pemilihan Presiden dan Timbalan Presiden parti tidak dipertandingkan.
Ahmad Zahid berkata, perkara itu diserahkan kepada perwakilan untuk menentukannya memandangkan keyakinan beliau terhadap proses demokrasi.
"Saya tahu perkara-perkara seperti ini menjadi modal yang terus dimainkan, tambahan pula pemilihan parti semakin hampir termasuklah saya mendengar lontaran-lontaran pandangan yang menyentuh soal pemilihan parti, khususnya jawatan utama Presiden dan Timbalan Presiden parti.
"Ada yang mahu kedua-dua jawatan ini tidak dipertandingkan dan tidak kurang juga yang mahu ia dipertandingkan," katanya.
Perkara itu dibangkitkan ketika ucapan perasmian PAU 2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur pada Jumaat.
Ia disiarkan secara langsung di channel YouTube Umno Online.
Jelasnya, ahli-ahli Umno bagaimanapun boleh menilai yang mana satu kaca dan yang mana satu permata.
"Yang mana pepat di luar, rencong di dalam. Bak kata orang muda, yang mana 'ori (asli) yang mana fake (palsu)," katanya.
Terdahulu, seramai 140 Ketua Bahagian Umno seluruh negara menyatakan solidariti agar jawatan Presiden yang menjadi tumpuan ketika ini tidak dipertandingkan pada pemilihan Umno akan datang.
Ketua Umno Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Dr Mohd Shafie Abdullah dilapor berkata, ketua-ketua bahagian itu turut bersepakat jawatan Timbalan Presiden juga tidak dipertandingkan.
Bagaimanapun, keputusan itu mendapat kritikan daripada bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden Umno dipertandingkan bagi memastikan amalan demokrasi dalam parti tidak terkubur.
Jelasnya, pertandingan jawatan tertinggi dalam parti itu perlu dipertandingkan, memandangkan Ahmad Zahid adalah seorang pejuang yang tidak gentar menghadapi pencabar.
Khairy memuat naik kenyataan itu bersama gambar grafik berkaitan 126 Ketua Umno Bahagian menyokong jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan.
Pada masa sama, Ahmad Zahid juga bersedia jika jawatannnya itu dipertandingkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram