Saringan HIV sebelum kahwin antara 8 khidmat janji temu baharu MySejahtera


  • Primer
  • Rabu, 28 Dis 2022

Zaliha berkata, sistem janji temu itu juga mempunyai fungsi peringatan automatik supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah. 

SISTEM janji temu melalui aplikasi MySejahtera diperluas ke semua fasiliti kesihatan primer sebagai langkah mempertingkatkan kecekapan perkhidmatan dan akses klien di fasiliti kesihatan itu.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, perkhidmatan itu dimulakan di 673 Klinik Kesihatan secara berfasa, bermula dengan saringan NHSI, PeKa B40, KBM dan akan diperluaskan kepada perkhidmatan lain secara berperingkat.

Beliau berkata, lapan perkhidmatan dimasukkan ke dalam sistem janji temu iaitu rawatan pesakit luar; Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI); Saringan Kesihatan PeKa B40 dan pemeriksaan kesihatan prapekerjaan/prapengajian.

Katanya, saringan praperkahwinan; Khidmat Berhenti Merokok (KBM); perkhidmatan perancang keluarga serta prosedur iaitu rawatan luka dan penukaran tiub turut dimasukkan ke dalam sistem tersebut.

"Antara kelebihan sistem janji temu dalam talian ini termasuklah pelanggan dapat merancang lawatan ke fasiliti kesihatan primer mengikut kesesuaian masa.

"Selain itu, pelanggan juga boleh mengubah tarikh janji temu melalui aplikasi MySejahtera dengan mudah tanpa perlu membuat panggilan ke fasiliti kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Zaliha berkata, sistem janji temu itu juga mempunyai fungsi Automated Reminder (peringatan automatik) supaya pelanggan menghadirkan diri mengikut masa dan tarikh yang ditempah.

Menurutnya, sistem janji temu itu bertujuan membantu fasiliti kesihatan primer mengatur jadual perkhidmatan berdasarkan kapasiti masing-masing dan mengelakkan kesesakan di tempat pendaftaran dan menunggu berikutan masa menunggu yang lama.

"Bagi kes kecemasan, kes demam atau penyakit berjangkit, orang ramai boleh terus ke fasiliti kesihatan primer tanpa perlu membuat janji temu, katanya.

"Dengan pendigitalan sistem perkhidmatan kesihatan disediakan KKM ini, saya harap ia dapat mempromosi program kesihatan di bawah fasiliti kesihatan primer kepada masyarakat dengan lebih berkesan serta menjadikan sistem perkhidmatan penjagaan kesihatan negara lebih efisien," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram