SEBELUM ini, tular di media sosial video berdurasi 15 saat yang merakamkan seekor tikus sedang menjamah ayam goreng dalam pemanas makanan di sebuah restoran di Pandan Indah, Kuala Lumpur.
Rakaman tersebut berjaya menarik perhatian Kementerian Kesihatan (KKM) sehingga mengeluarkan arahan penutupan selama 14 hari dan enam notis kompaun terhadap premis terbabit.
Sebagai seorang peniaga makanan soal penyediaan makanan dan kebersihan perlu dititikberatkan kerana jika tidak diuruskan dengan baik boleh mendatangkan penyakit kepada pelanggan.
Baru-baru ini, seorang pengguna media sosial sempat berkongsi video cara penyediaan makanan dipercayai di salah sebuah premis makanan yang terkenal di George Town, Pulau Pinang.
Menerusi rakaman video terbabit, dapat dilihat seorang individu sedang menyediakan makanan yang dipercayai roti canai.
Ketika dia sedang menyediakan makanan, individu terbabit dilihat sedang mengasingkan telur ke dalam sebuah bakul di hadapannya.
Namun ketika dia mengasingkan telur itu ke dalam bakul tersebut, dapat dilihat telur itu tidak dibasuh sebelum diasingkan dan terdapat beberapa biji telur sudah pecah.
Tanpa menghiraukan keadaan kebersihan telur terbabit, individu itu menyambung tugasnya dengan membuat roti canai.
Rakaman tersebut turut sempat menunjukkan keadaan sekeliling dan mendapat ramai orang sedang menjamah makanan di premis terbabit.
Menerusi tinjauan Majoriti di ruangan komen, rata-rata orang ramai mahu pihak berkuasa menyiasat tentang premis tersebut kerana ia merupakan salah satu kedai makan yang terkenal di Pulau Pinang.
"Telur dah tentu tak basuh tangan pegang telur tebar roti canai pula, itu pun orang ramai terkinja-kinja pergi beratur makan dekat kedai mamak," kata Mohd Zamri Abd Hamid.
"Kenapa dekat Penang banyak tempat makan dengan isu kebersihan?" soal Wan Luqman.
"Nak makan roti canai atau nasi kandar kena pandai pilih kedai juga, jangan main serbu sahaja," pesan Anaz Chiq.
"KKM kena serbu kedai-kedai macam ini, sebab makanan itu hari-hari orang pergi makan nanti tak pasal-pasal datang penyakit lain pula," luah Yunus Hasnin.
Pesanan untuk orang ramai, jika ingin membeli atau makan di sesebuah premis pastikan kebersihan di kawasan itu dalam keadaan yang bersih dan penyediaan makanan sentiasa terjaga. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram