Sekat segera kemasukan warga China, rakyat dah letih hadap PKP


  • Massa
  • Jumaat, 30 Dis 2022

Ramai yang khuatir kemasukan warga China akan meningkatkan semula kadar jangkitan dalam negara. — Bernama

KEPUTUSAN China mahu melonggarkan sekatan Covid-19 bermula 8 Januari depan nampaknya merisaukan ramai pihak.

Selepas berdepan kesukaran sehingga ada yang terpaksa menutup perniagaan ekoran pandemik Covid-19, golongan peniaga kini baru nak bangkit kembali kini.

Malah, baru-baru ini terdapat separuh penumpang warga China yang mendarat di sebuah lapangan terbang di Itali disahkan positif Covid-19.

Perkara itu menimbulkan kerisauan dalam kalangan rakyat apatah lagi Malaysia menjadi antara negara pilihan warga China untuk bercuti.

Ditambah pula dengan kenyataan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyifatkan cadangan untuk mengambil tindakan termasuk menyekat pengembara China sahaja bagi membendung virus Covid-19 susulan pembukaan sempadan oleh negara itu adalah tidak berkesan dan tidak munasabah.

Perkara ini nyata merisaukan bukan sahaja golongan peniaga, tetapi juga orang ramai.

Kamarudin Abdullah berkata, mana-mana negara yang masih mencatatkan kes penularan Covid-19 tinggi masih perlu dipertimbangkan kemasukan rakyat mereka.

"Rakyat sudah tidak mampu menghadapi penutupan pelbagai sektor. Usahakan langkah pencegahan dahulu," katanya.

Perkara sama juga dinyatakan Nazroy Naz yang berkata, pada 2018, kerajaan tidak melakukan sekatan pelancong China yang menyebabkan negara dilanda gelombang Covid-19.

Zakaria Ismail berkata, kerajaan baharu wajib belajar daripada pengalaman lalu dan tidak benarkan kemasukan warga China ke negara ini.

"Daripada sediakan garis panduan, lebih baik sekat. Rakyat dah tak mampu nak hadap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semula," katanya.

Lucky Wang pula berkata, kerajaan harus sekat atau bekukan visa semua pelancong dari China untuk tidak menjejaskan ekonomi kita yang sedang dalam situasi pemulihan.

Terdahulu, Presiden MATA Datuk Dr Mohd Khalid Harun berkata, lonjakan ketara kes Covid-19 di China baru-baru ini meningkatkan lagi potensi varian baharu yang bakal muncul sekali gus memberi kegusaran kepada rakyat Malaysia khususnya pemain industri pelancongan.

"Kita semua sedia maklum hospital di seluruh China telah dibelenggu oleh letupan kes Covid-19 berikutan keputusan Beijing untuk menarik balik peraturan ketat mereka.

"Trauma yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan akibat Covid-19 masih belum selesai malah banyak agensi pelancongan serta hotel ditutup sepenuhnya akibat Covid-19 dengan kerugian berbilion ringgit dalam tempoh dua tahun yang lalu,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Justeru, beliau berharap perkara seumpama itu tidak berulang memandangkan pemain industri pelancongan amat terkesan sebelum ini dan masih dalam proses pemulihan.

Mohd Khalid juga berkata, banyak negara telah memperketat kemasukan pelancong atau ahli perniagaan dari China buat masa ini bagi menyekat penularan virus Covid-19.

Beliau turut menasihati pemain industri pelancongan Malaysia agar mengalihkan perniagaan mereka kepada pelancong dari Timur Tengah dan Eropah tanpa bergantung kepada China buat masa ini.

Pada Jumaat, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, Malaysia dijangka menyaksikan lonjakan permintaan penerbangan susulan pembukaan semula sempadan China. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram