KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedia mengubah dasar penjagaan kesihatan pengurusan pandemik Covid-19 di sempadan negara sedia ada, termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di pintu masuk negara.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara (warganegara Malaysia dan bukan warganegara) yang tiba dari negara China, bahkan yang tiba dari semua negara di dunia.
Beliau berkata, dengan pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan” sehingga Jun depan, ia memberi ruang kepada KKM untuk mengambil sebarang tindakan segera bila diperlukan, susulan lonjakan semula kes wabak itu di China.
Menurutnya, KKM memandang serius kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes Covid-19 di China serta sekatan yang dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari negara republik berkenaan, dan perkara itu adalah keutamaan KKM ketika ini.
"KKM akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan Covid-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan dengan sebarang kemungkinan peningkatan kes wabak itu,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dr Zaliha berkata, KKM juga sentiasa bersiap siaga meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Menurutnya, KKM sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat selain berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.
"WHO telah mengadakan mesyuarat dengan China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan Covid-19 di negara berkenaan.
"Berdasarkan maklumat yang dilaporkan negara China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China, juga telah dikesan di Malaysia,” katanya.
Penghujung tahun lepas, China melaporkan berlaku lonjakan kes Covid-19 berikutan varian Omicron yang merebak dengan pantas, dan beberapa negara mengambil keputusan untuk menyekat kemasukan pengembara dari China ke negara mereka sebagai langkah menghalang penularan wabak itu.
Sementara itu, Dr Zaliha berkata, berdasarkan maklumat sedia ada, vaksin Covid-19 berkesan dengan memberi perlindungan dari mendapat gejala teruk akibat jangkitan virus itu, dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital.
Selain itu katanya, vaksin Bivalent akan dibekalkan kepada Malaysia tidak lama lagi berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah, baru-baru ini.
"Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.
"KKM menggesa orang ramai yang menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin Bivalent. Vaksin Monovalent sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya.
Dr Zaliha berharap peratusan pengambilan dos penggalak terus meningkat, terutama golongan berisiko memandangkan ketika ini hanya 49.8 peratus daraipada rakyat Malaysia sudah mendapat vaksin dos penggalak pertama dan hanya 1.9 peratus mengambil vaksin dos penggalak kedua.
Beliau turut mengingatkan rakyat agar terus menjaga kesihatan kendiri dan keluarga masing-masing serta sentiasa mematuhi saranan serta nasihat kesihatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram