Tiada isu remeh jika libatkan rakyat, menteri 'atur langkah' elak berlarutan


  • Primer
  • Khamis, 05 Jan 2023

Beberapa kementerian dilihat terlalu ingin menyelesaikan masalah sehingga isu remeh pun jadi keutamaan.

KERAJAAN Perpaduan yang diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim banyak memperkenalkan muka-muka baharu sebagai barisan menteri.

Semestinya sebagai seorang yang baharu berada dalam kepimpinan negara, banyak perkara yang ingin diselesaikan sebagai bukti KPI kepada rakyat.

Pelbagai inisiatif dan isu dijadikan fokus utama kementerian untuk ditangani. Namun, di sebalik kerancakan untuk bergelar 'hero' rakyat, perkara remeh juga cuba nak diselesaikan.

Sedangkan banyak lagi isu-isu utama yang sudah lama tertangguh dan masih gagal diselesaikan sejak pimpinan kerajaan sebelum ini.

Memang betul, tiada isu yang remeh apabila melibatkan rakyat. Tetapi, adalah lebih baik jika isu yang benar-benar utama disegerakan penyelesaiannya berbanding hal-hal remeh yang boleh diatasi penjawat awam di peringkat lebih bawah.

Berikut beberapa isu yang dilihat remeh cuba diselesaikan pak menteri.

vocket-netizen-minta-anthony-loke-pantau-kualiti-roadtax-header-1

Isu pelekat cukai jalan

Memang betul, pelekat cukai jalan yang disediakan sekarang boleh dikategorikan sebagai tidak berkualiti, mudah terkoyak dan sebagainya.

Namun, sejak sebelum ini lagi beberapa usaha penyelesaian berkenaan tip untuk menampal pelekat cukai jalan sudah dikongsikan dalam media sosial.

Terkesan dengan rungutan rakyat, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menerusi mesyuarat dengan pengurusan tertinggi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memaklumkan akan mengubah perkara itu.

Jika kaedah 'pelekat' masih digunakan, maka perkara itu hanya akan menambahkan lagi belanja kerajaan dan sebaliknya, jika ditukar kepada bentuk digital, itu lebih baik.

Hakikatnya, jika isu ini ditangani sekali pun, pelekat cukai kenderaan tetap perlu dibuang dan diganti dengan yang baharu setiap tahun.

323635331_1584265995329554_5122628170702095045_n

Kebersihan tandas awam

Beberapa menteri yang ada sekarang cukup rajin melakukan spot-check dan lawatan mengejut untuk mengetahui masalah rakyat.

Jika isu tersebut berat, apa salahnya. Tetapi kalau sekadar isu kebersihan tandas awam, rasanya tidak perlulah sampai Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming terpaksa tegur.

Agensi di bawah KPKT seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepatutnya menangani isu ini jauh lebih awal dan ia terlalu remeh untuk ditangani oleh menteri.

Adalah lebih baik jika menteri memberi fokus terhadap isu yang lebih berat dan dekat dengan rakyat seperti penyelesaian rumah terbengkalai yang membebankan mangsanya saban tahun.

Kalau betul nak tangani isu kebersihan tandas awam, serahkan sahaja kepada agensi berkaitan untuk dikawal dan pantau secara berkala untuk elak penyelesaian jangka pendek sahaja.

1860378

Pemberian tuala wanita percuma

Inisiatif yang baik sebenarnya oleh Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Menterinya, Dr Zaliha Mustafa untuk menyediakan tuala wanita percuma bagi menangani isu kemiskinan haid di negara ini.

Namun, ada beberapa lagi isu kecil yang sepatutnya menjadi keutamaan terutamanya melibatkan sistem waktu menunggu dan sebagainya yang dilihat masih tidak efisen.

Sejak sekian lama, isu waktu menunggu, masalah nombor giliran, kesesakan di klinik kesihatan masih membelenggu rakyat.

Disebabkan itu isu pemberian tuala wanita percuma ini yang memakan belanja besar dilihat tidak kena pada waktunya.

Mungkin idea pelaksanaan itu boleh dijadikan galakan terutamanya kepada sektor swasta untuk dilaksanakan sebelum diteruskan oleh kerajaan secara menyeluruh. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram