KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) tidak pernah mengeluarkan sebarang iklan jawatan kosong bagi tahun 2023.
Menerusi kenyataan di laman Facebook pada Jumaat, kementerian itu berkata, iklan jawatan kosong berkenaan yang dikongsi di laman www.portalmalaysia.com adalah tidak benar.
"Orang ramai adalah dinasihatkan untuk merujuk portal rasmi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bagi sebarang iklan peluang kerjaya dan pengumuman terkini," tulis kenyataan itu.
Pada masa sama, kementerian itu juga menggesa orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat sekiranya mereka tidak pasti mengenainya.
Menerusi iklan yang dikongsikan secara meluas itu, ia mendakwa bahawa, KKM menawarkan lebih 1,800 kekosongan jawatan manakala syarat minimum kelayakan adalah bermula dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau diploma.
Turut disertakan dalam iklan itu adalah pautan untuk menyertai kumpulan bagi mendapatkan kemas kini lanjut tentang dakwaan kekosongan jawatan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram