[VIDEO] Pemandu tersepit, treler muatan konkrit terbalik rempuh pembahagi jalan, laluan arah Gelang Patah sesak


  • Tular
  • Rabu, 04 Jan 2023

Sebuah kenderaan treler membawa muatan konkrit dilaporkan terbalik di Lebuhraya Linkedua arah Selatan.

SEBUAH treler yang membawa muatan konkrit dilaporkan terbalik selepas merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Linkedua arah Selatan menghala susur keluar Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) pada kira-kira 5 petang, Rabu.

Insiden itu sekali gus mengakibatkan laluan sesak di lebuh raya berkenaan dan kelewatan dijangka berlaku dari arah Gelang Patah menghala ke Kompleks CIQ.

Perkongsian di laman Facebook memaparkan kemalangan terbabit mengakibatkan seorang lelaki dipercayai pemandu treler berkenaan tersepit di dalam kenderaan itu.

Dua lelaki dipercayai pemandu treler tersebut dilihat sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa sambil dibantu seorang lagi lelaki yang mengawal laluan trafik di situ.

Treler yang membawa muatan berat itu turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan kenderaan dan tayar.

Menurut laporan Bomba dan Penyelamat Negeri Johor, seramai lima anggota telah dihantar ke lokasi kejadian dengan operasi tersebut diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan KUP Ahmad Nazran Omar.

Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di situ, seorang mangsa dilaporkan tersepit di bahagian kerusi pemandu dan kerja-kerja menyelamat dijalankan dengan bantuan peralatan khas 'rescue tools' untuk membuka pintu dan mengeluarkan mangsa.

Mangsa lelaki Qamarul Amni Md Deris, 38, berjaya diselamatkan dan telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan lanjut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram