Hilang percaya terhadap Hajiji, BN umum tarik diri di Sabah


  • Politik
  • Jumaat, 06 Jan 2023

Bung Moktar membuat pengumuman tentang penarikan diri BN daripada menganggotai kerajaan Sabah pada Jumaat.

KERAJAAN negeri Sabah gabungan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sah bubar.

Ini berikutan BN yang terdiri dari 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) menarik diri daripada menganggotai kerajaan berusia 27 bulan itu, selepas hilang kepercayaan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ia juga dijangka mencetuskan persaingan untuk memperoleh majoriti mudah 40 kerusi.

Jika gagal, pilihan raya mengejut mungkin akan diadakan.

Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengumumkan perkara itu selepas mempengerusikan mesyuarat selama dua jam di ibu pejabat Umno Sabah, dekat Kota Kinabalu, Sabah bermula pukul 8 malam Jumaat.

DUN Sabah mempunyai 79 Adun iaitu 73 Adun yang dipilih dan enam Adun dilantik.

GRS mempunyai 29 Adun, termasuk 15 ahli yang dahulunya bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Bersatu Sabah (tujuh), Sabah STAR (enam) dan seorang lagi daripada Parti Maju Sabah (SAPP).

Sebelum pengumuman itu, kerajaan negeri GRS-BN mempunyai sejumlah 46 kerusi.

Difahamkan, kerajaan negeri mendapat sokongan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang mempunyai tiga kerusi.

Turut menyokong adalah PAS, Parti Bangsa Malaysia, masing-masing seorang mempunyai seorang Adun dan seorang Bebas yang berada di bawah kerajaan negeri.

Ini bermakna, Hajiji Noor sebelum ini mendapat sokongan 53 Adun.

Di bangku pembangkang, Parti Warisan mempunyai 19 Adun, manakala Pakatan Harapan mempunyai tujuh Adun yang mana, empat daripada DAP, dua daripada PKR dan seorang lagi daripada Upko.

Pengumuman itu dibuat kira-kira 36 jam selepas Warisan mengadakan sidang media, berikutan spekulasi bahawa terdapat langkah untuk menggulingkan kerajaan GRS di bawah pimpinan Hajiji.

BN dijangka bekerjasama dengan Warisan dan parti-parti kecil lain untuk membentuk kerajaan negeri akan datang.

GRS juga mungkin boleh bekerjasama dengan tujuh wakil rakyat PH, parti lain dan Bebas. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram