Lima pemimpin utama politik dibuang parti, mungkin hilang terus dari dunia politik


  • Politik
  • Khamis, 29 Dis 2022

Beberapa nama besar dalam dunia politik sudah mula terbuang dan mungkin akan terus hilang daripada radar politik tempatan.

PILIHAN Raya Umum Ke 15 (PRU15) yang lalu menyaksikan keputusan yang mengejutkan sehinggakan tiada siapa dapat menyangka bahawa gabungan parti yang sebelum ini bermusuhan berjaya membentuk kerajaan.

Selain itu, PRU15 juga menyaksikan beberapa pemimpin utama parti mula berpaling tadah yang akhirnya menyaksikan mereka dibuang parti atau bergerak sendiri.

Peranan atau jawatan dalam parti politik Sebenarnya amat penting sebagai batu loncatan untuk seseorang itu disegani atau sekurang-kurangnya mendapat jawatan dalam kerajaan.

Ketiadaan jawatan dalam parti membuatkan seseorang ahli politik itu kehilangan pengaruh dan berkemungkinan akan hilang pengikut.

Kehilangan pengikut dan suara sebagai ahli politik ini juga berkemungkinan akan membuatkan kerjaya mereka berkubur.

Berikut Majoriti senaraikan lima pemimpin politik yang dibuang parti dan berkemungkinan perjalanan mereka dalam dunia politik akan berkubur sebelum PRU seterusnya.

Exclusive interview with Plantation Industries and Commodities minister, Datuk Zuraida Kamaruddin at Berjaya Times Square hotel on December 14.—AZMAN GHANI/The Star

Datuk Zuraida Kamaruddin

Bekas ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamarudddin menjadi seorang daripada 13 individu yang dipecat daripada Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Pemecatan itu dibuat selepas Zuraida menyertai PBM pada Jun lalu selepas keluar daripada parti Bersatu sebelum ini.

Zuraida sebelum ini turut menyifatkan Presiden PBM Larry Sng sebagai tidak matang dan angkuh dalam menguruskan PBM selain membuat ugutan.

Susulan itu Sng memberi respons kepada Zuraida supaya berhenti daripada politik dan muhasabah diri kerana pengundi di Ampang turut menolak bekas menteri itu pada PRU15.

PKR vice-president Tian Chua posing for photograph during the ceramah at Desa Pandan last night. IZZRAFIQ ALIAS / The Star. May 1, 2018.

Chua Tian Chang

Bekas ahli Parlimen Batu, Chua Tian Chang atau lebih dikenali dengan Tian Chua sebelum ini merupakan seorang ahli PKR.

Walaupun tiada jawatan dalam PKR, statusnya sebagai ahli veteran dalam parti itu sangat dihormati.

Namun, pada PRU15 lalu, dia bertanding lagi atas tiket bebas dan kali ini menentang partinya sendiri untuk merampas kembali kerusi Parlimen Batu yang diwakilinya selama dua penggal dari 2008.

Pengaruh Tian Chua bagaimanapun gagal menterjemahkan kemenangan apabila calon PKR yang berjaya mempertahankan kerusi di Parlimen Batu.

Tian Chua pula selepas itu dipecat daripada PKR dan akhirnya bergerak sendiri. Namun, hubungannya dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal baik sehingga kini.

Federal Territories Minister Datuk Seri Dr Shahidan Kassim. – Bernama

Datuk Seri Shahidan Kassim

Dikenali sebagai ahli Parlimen yang lantang bersuara dalam Dewan Rakyat, Shahidan Kassim membuktikan yang dia mempunyai pengaruhnya tersendiri.

Walaupun disingkirkan Barisan Nasional (BN) selepas menyertai Perikatan Nasional (PN), Shahidan tetap berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Malah, dia juga ketika sidang Dewan Rakyat memaklumkan bahawa dirinya merupakan ahli PAS. Namun, ketiadaan sebarang jawatan dalam parti itu membuatkan Shahidan tidak mempunyai kuasa.

Hanya status sahaja sebagai ahli Parlimen sahaja yang menjadi kekuatan buat Shahidan. Sebaliknya, dia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan hala tujunya sendiri dalam parti.

Ditambah dengan faktor usia, mungkin pemecatan Shahidan daripada Umno dan bersama Pas menjadi perjalanan terakhirnya dalam politik.

PUTRAJAYA, 6 Jan -- Reaksi Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media mengulas mengenai pemecatannya sebagai Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) di Kementerian Wilayah hari ini.Beliau menerima keputusan pemecatan itu yang dibuat dalam satu mesyuarat yang dipengerusikan presiden parti Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn semalam.-- fotoBERNAMA (2021) HAK CIPTA TERPELIHARA

Tan Sri Annuar Musa

Seorang lagi pemimpin dalam Umno, Tan Sri Annuar Musa juga antara yang dipecat daripada parti. Tambah menyedihkan, dia juga tidak berpeluang untuk bertanding dalam PRU15.

Walaupun tidak dicalonkan dalam PRU15, Annuar tetap meneruskan sumbangannya untuk membantu Umno sehinggalah dia dipecat pada 9 Disember lalu.

Selepas itu, Annuar kemudian menubuhkan badan bukan kerajaan (NGO) yang diberi nama Muafakat Nasional (MN). Bekas ahli Parlimen Ketereh itu juga menyifatkan bahawa MN tidak akan terlibat dengan sebarang gerakan politik.

Namun, MN dilihat banyak disertai ahli politik yang ibaratnya sudah dibuang parti sekali gus menimbulkan persepsi bahawa satu lagi gerakan politik sedang dirancang untuk PRU akan datang.

MN juga bakal menyaksikan sama ada Annuar masih mampu lagi berada dalam dunia politik atau terus berkubur tanpa sokongan parti.

PUTRAJAYA, 17 Mei -- Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berucap semasa merasmikan Program Penanaman Pokok Gutta Percha Terbanyak oleh Yayasan TM di Taman Botani Putrajaya hari ini.--fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

Datuk Zahidi Zainul Abidin

Mempertahankan kerusi di Parlimen Padang Besar sejak 2013, Zahidi nampaknya gagal menang pada PRU15 selepas bertanding atas tiket bebas dan bukannya bersama Barisan Nasional (BN).

Pernah menjadi Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia sebelum ini, mungkin itu sahaja kemuncak perjalanan politik Zahidi kerana pengaruhnya kini sudah tidak lagi seperti sebelum ini.

Malah, Zahidi juga hilang deposit dalam PRU15 yang menunjukkan bahawa sokongan terhadapnya sangat rendah selepas bergerak secara bebas.

Tanpa sokongan daripada parti, agak sukar untuk Zahidi meneruskan kerjayanya dalam politik dan mungkin namanya akan terus berkubur selepas ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram