PAU 2022 jemput pemimpin parti Kerajaan Perpaduan


  • Politik
  • Selasa, 03 Jan 2023

Ahmad Maslan bercakap pada sidang media pada Selasa.

MESYUARAT Bulanan Majlis Tertinggi (MT) Umno bagi bulan Januari yang dijadualkan Khamis ini antara lain adalah bagi membincangkan mengenai pemilihan parti, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

"... pemilihan Umno belum dibincangkan. Tentunya boleh dibincangkan pada 5 Januari ini tentang pemilihan (parti)," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022, pada Selasa.

Ahmad berkata, selain pemilihan Umno, mesyuarat bulanan itu akan turut membincangkan mengenai jemputan ke PAU 2022 kepada parti yang terdapat dalam Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa, satu mesyuarat pengurusan Umno akan diadakan malam Selasa, yang dipengeruskan oleh Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Pada 26 Disember lepas, Ahmad berkata, keputusan sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden parti itu akan dipertimbangkan atau tidak, hanya akan diputuskan ketika mesyuarat MT Khas pada 12 Januari ini sebelum Perhimpunan Agung keesokannya.

PAU 2022 yang sebelum ini dijadualkan pada 21 hingga 24 Disembr 2022, telah ditangguhkan kepada 11 hingga 14 Januari 2023. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram