KERAJAAN memberi jaminan akan melindungi dan membantu pengusaha industri kecil dan sederhana (IKS) dan rakyat jika berlaku kesan ekonomi susulan peningkatan kes Covid-19 di China, kata Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Beliau berkata, kesan peningkatan Covid-19 ke atas ekonomi China perlu dipantau kerana sebagai ekonomi kedua terbesar di dunia apa yang berlaku di negara itu boleh memberi kesan kepada sebuah negara dagangan seperti Malaysia.
"Di peringkat kementerian (ekonomi) perkara itu sudah dipantau sejak dua tahun lepas (pandemik Covid-19 bermula) dan pengalaman sepanjang dua tahun akan ditambah baik dengan perancangan, usaha dan tindakan untuk kurangkan (sebarang kesan ke atas ekonomi Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika hadir di Majlis Kenduri Rakyat dan Penyerahan Sumbangan Balik Ke Sekolah Parlimen Pandan di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) pada Sabtu.
China dilapor akan membuka semula sempadannya pada 8 Jan 2023 selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19, namun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu baru-baru ini.
Ditanya sama ada Parti Keadilan Rakyat (PKR) ada menerima jemputan untuk menghadiri Perhimpunan Agung Umno yang dijadualkan berlangsung bulan depan, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR berkata, perkara itu perlu ditanya kepada Setiausaha Agung parti kerana segala surat menyurat ditujukan kepada Setiausaha Agung.
"Setakat ini belum dimaklumkan dan belum ada notis mesyuarat biro politik PKR,” katanya.
Kepada soalan sekiranya mendapat jemputan adakah PKR akan memenuhinya, Rafizi berkata, perkara itu akan diputuskan secara bersama di peringkat parti.
"Tak usah terburu-buru. Kalau dapat jemputan, prosesnya ialah akan dibawa ke biro politik dan biro politik akan buat keputusan. Saya tunggu kalau perkara itu telah dihantar secara rasmi,” katanya. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram