MN sukar kuasai politik, PN rakan terbaik — Penganalisis


  • Politik
  • Khamis, 29 Dis 2022

Annuar Musa bertanggungjawab menubuhkan MN selepas PRU15.

KEHADIRAN pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN) selepas ditubuhkan Presidennya, Tan Sri Annuar Musa benar-benar menjadi perhatian dalam kalangan pemerhati politik.

Malah, ada beberapa ahli politik yang menyertai MN juga sehingga dibuang daripada parti hanya kerana menyertai pertubuhan yang haluannya didakwa tiada kaitan dengan dunia politik sekali pun.

Antaranya adalah ahli Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang juga bekas ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin yang dipecat kerana menyertai NGO tersebut.

WhatsApp Image 2022-12-29 at 2.29.02 PM

Zuraida antara pemimpin politik yang menyertai MN.

Malah, Presiden PBM, Larry Sng turut memberi amaran kepada ahlinya untuk tidak menyertai MN dan berpotensi dikenakan tindakan penggantungan termasuk dibatalkan keahlian jika berbuat demikian.

Bahaya sangatkah MN sehingga ada parti yang melarang ahlinya bersama NGO tersebut? Ada kemungkinan ke pertubuhan yang dikemudi bekas ahli Parlimen Ketereh itu menjadi sebuah parti politik?

Penganalisis politik dan Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan berkata, MN bukan dilihat hebat kerana pemimpin di dalamnya, tetapi disebabkan namanya.

"Sebelum ini ramai yang tahu MN adalah kerjasama antara Umno dan PAS selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14). Itu sebenarnya yang menjadi kekuatan MN.

"Tetapi menjadi MN untuk bergerak sebagai parti politik memang sukar kerana mahu atau tidak, mereka perlu menyertai mana-mana gabungan politik.

"Gabungan yang paling sesuai ketika ini ialah Perikatan Nasional (PN) kerana mempunyai PAS di dalamnya. Umno mungkin tidak kerana Annuar merupakan seteru parti tersebut," katanya kepada Majoriti.

Menurut Azmi, MN memang disertai ramai ahli politik tetapi kesemuanya tidak mempunyai kerusi dan golongan ini kalau dilihat dalam konteks politik negara tidak mempunyai pengaruh.

Dilema yang dihadapi MN kini kata Azmi adalah berkenaan hala tuju pertubuhan dan rasanya, pemimpin-pemimpin tertinggi dalam NGO itu juga sedang merancang sesuatu.

"Tetapi mungkin juga MN diwujudkan hanya untuk test market sahaja. Nak tahu sejauh mana MN boleh pergi. Cuma buat ketika ini, jika mereka mahu serius dalam politik, maka perlu menyertai mana-mana gabungan politik yang ada," katanya.

Terdahulu, Annuar menegaskan yang pertubuhannya tidak mempunyai sebarang agenda politik walaupun disertai ramai pemimpin-pemimpin politik.

Malah, Annuar juga memaklumkan yang pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram