PERIKATAN Nasional (PN) akan memperkenalkan kumpulan pemantau kementerian yang akan memantau kabinet Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lama lagi.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, satu pengumuman mengenai pembentukan kumpulan ini akan dibuat selepas kepimpinan PN bertemu bulan ini.
Bercakap kepada pengarang-pengarang kanan media tempatan dalam Dialog Concorde di sini pada Rabu, Hamzah menjelaskan yang beliau sudah pun berbincang perihal perkara ini dengan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga hari lalu.
"Saya juga telah mencadangkan beberapa nama dari kalangan 74 ahli parlimen PN untuk menganggotai kluster pemantau ini yang akan berfungsi seperti ala-ala kabinet bayangan walaupun saya tidak suka menggunakan istilah sedemikian," ujarnya.
Jelas Hamzah, sistem ini adalah baik untuk pembangkang berfungsi sebagai badan semak dan imbang.
"Adalah penting untuk masa depan negara ini, kerajaan turut melibatkan kerjasama dan pandangan pembangkang dalam apa jua pelaksanaan program untuk rakyat kerana kita semua bekerja untuk kesejahteraan rakyat bukan untuk kepentingan mana-mana individu.
"Dan sebagai badan semak dan imbang kita juga mahu menyumbangkan pandangan dan memastikan apa yang dikehendaki rakyat diberikan perhatian yang khusus oleh kerajaan," tegas beliau yang juga Setiausaha Agung PN.
Kelab Concorde adalah tempat pertemuan pangarang-pengarang kanan dengan pemimpin negara untuk bertukar-tukar pandangan dan berdialog tentang pelbagai isu semasa secara terbuka dan berterus-terang.
Antara mereka yang pernah mengambil bahagian dalam dialog ini termasuklah Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Zamry Abdul Kadir dan Presiden Muda, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Kepada satu soalan Hamzah menegaskan, PN tidak akan menganggu tugas Anwar dalam melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Perdana Menteri sebaliknya akan memberi peluang kepada kerajaan sedia ada untuk melaksanakan tanggungjawab mereka kepada rakyat.
Anwar katanya, patut diberi peluang dan ruang untuk menjalankan tugasnya sebagai Perdana Menteri tetapi pembangkang akan terus memainkan peranannya sebagai badan semak dan imbang.
Tentang prestasi Anwar dan barisan kabinetnya, Hamzah yang juga ahli parlimen Tambun menegaskan adalah tidak adil untuk melakukan sebarang komen berhubung perkara itu sekarang kerana beliau baharu dua bulan mengalas tanggungjawab tersebut.
"Beliau baharu sahaja mengalas tanggungjawab tersebut dan kita semua sedia maklum yang beliau sudah ada pengalaman sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan. Tapi itu era lain. Sekarang kita sedang berhadapan dengan era yang lebih tidak menentu maka jangan diganggu kerjanya dengan isu-isu politik sebaliknya berilah ruang kepadanya untuk mentadbir negara," tegas beliau lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram