TAHUN ini menyaksikan senario politik negara ibarat sebuah perjalanan roller coaster, penuh dengan naik turun dan liku tajam.
Politik yang tidak stabil akhirnya diselesaikan dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) walaupun pada awalnya, ada yang tidak bersetuju.
Selain itu, politik tahun ini juga menyaksikan beberapa muka otai sudah mula diketepikan baik parti mereka sendiri mahupun rakyat.
Berikut Majoriti senaraikan lima isu politik yang menjadi tumpuan dan bahan bualan rakyat tahun ini.
Najib dipenjara
Hukuman penjara yang dikenakan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja menjadi bualan rakyat, tetapi juga meraih tumpuan antarabangsa.
Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan sebulat suara mendapati pembelaan yang dikemukakan oleh Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah
Najib dihukum 12 tahun penjara serta denda RM210 juta selepas didapati bersalah pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Antara yang membuat liputan berkenaan kes ini termasuklah media Amerika Syarikat seperti Wall Street Journal, Washington Post, The New York Times dan CNBC.
Siaran langsung pada hari keputusan sehinggalah Najib dibawa ke Penjara Kajang, Selangor turut disiarkan secara langsung.
Malah, layanan terhadap Najib termasuk ruang penjara dan menu makanannya turut menjadi bualan warganet.
Kebangkitan Anwar
Siapa sangka, selepas 24 tahun bermain dalam dunia politik termasuk menjadi banduan sebanyak dua kali, Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya meraih cita-citanya menjadi Perdana Menteri.
Keputusan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka kerana keputusan PRU15 sebenarnya tidak berpihak secara langsung kepada Presiden PKR itu.
Ini kerana, Pakatan Harapan (PH) tidak mendapat jumlah undi majoriti untuk bergelar Perdana Menteri sehinggalah rundingan terpaksa dilakukan.
PH memperoleh 82 kerusi manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh 74 kerusi. Akhirnya, PH terpaksa membuat satu pakatan yang baru bersama Barisan Nasional (BN), GPS dan GRS.
Keterujaan melihat Anwar menjadi Perdana Menteri bukan sahaja diraikan penyokongnya, tetapi pemimpin dunia turut berhubung dengannya untuk mengucapkan tahniah.
Kejatuhan Mahathir
Kita tidak boleh menafikan sumbangan dan jasa yang diberikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap negara.
2018 menyaksikan Mahathir menjadi Perdana Menteri buat kali kedua yang mana dia membawa bersama PH yang sebelum itu menjadi pembangkang.
Namun disebabkan beberapa isu dalaman, akhirnya Mahathir keluar dari PH dan mengasaskan parti baharu, Pejuang pada 2020.
Namun, parti itu tidak mendapat tempat di hati rakyat sehingga mengalami kegagalan teruk dalam PRU15.
Mahathir gagal mempertahankan kerusi Langkawi dengan hanya berada di kedudukan keempat dalam pertarungan lima penjuru ibarat satu mesej jelas bahawa dirinya sudah ditolak rakyat.
Skandal LCS
Pada 4 Ogos lalu, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendedahkan sembilan prosiding berhubung isu LCS bermula 18 November 2020 mendapati tiada satu pun kapal LCS telah disiapkan.
Kontrak projek itu diberikan secara rundingan terus dan telah dibayar sebanyak RM6.083 bilion untuk menyiapkan lima kapal harus disiap dan diserahkan pada Ogos 2022.
Pembekalan enam buah LCS itu menjadi isu 'panas' selepas pendedahan bahawa projek berkenaan yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun mulai 3 Oktober 2013 hingga 2 Oktober 2023 hanya siap 53.29 peratus setakat 31 Mei 2019.
Berdasarkan laporan siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang dinyahklasifikasikan pada Rabu, Kementerian Pertahanan telah membayar sebanyak RM5.94 bilion kepada BNS daripada kos keseluruhan projek berkenaan berjumlah RM9.13 bilion setakat ini.
Terdapat beberapa gesaan untuk mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan kes ini namun sehingga kini masih senyap tanpa sebarang perbincangan lanjut.
Kegoyahan Umno
PRU15 menyaksikan Umno seperti mempunyai pergolakan dalam dengan penyingkiran beberapa muka otai daripada dipilih untuk bertanding.
Selain itu, keputusan PRU15 juga menyaksikan Umno seperti sudah tidak mempunyai tempat dalam kalangan rakyat dengan memperoleh kerusi yang sedikit.
Keputusan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama dengan PH juga mendapat tentangan daripada akar umbi.
Kini, Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 yang sebelum ini dirancang pada bulan ini juga ditangguh ke tahun depan. Itu pun ada yang mendakwa terdapat agenda disebaliknya.
Namun, kata sepakat mengenai siapa yang bakal menerajui Umno nampaknya masih belum diputuskan dan berkemungkinan jika pemimpin sedia ada kekal, pengaruh parti itu akan terus merudum. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram