PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang pembentukan barisan Kabinet baharu, bagi Kerajaan Perpaduan nampaknya kurang disenangi segelintir pihak.
Mujibu Abd Muis mengakui bahawa, sememangnya rakyat ketika ini sedang marah tentang senarai jemaah menteri itu atas beberapa faktor.
Penganalisis politik itu berkata, ini termasuk pelantikan ahli politik yang terbabit dalam kluster mahkamah.
Mujibu — Facebook
Selain itu, katanya, segelintir rakyat turut mempersoalkan relevansi pelantikan ahli politik yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun tetap dilantik sebagai senator dan menteri.
"Turut menjadi isu adalah tentang bagaimana hanya ada dua wakil menteri dari Sabah, walhal sokongan Sabah begitu solid iaitu dari parti Warisan dan Bebas. Ini dilihat tidak adil.
"Berbanding dengan Sarawak, ada seorang Timbalan Perdana Menteri dan empat menteri," katanya kepada Majoriti.
Anwar ketika mengumumkan barisan Kabinet pada Jumaat.
Ketika ditanya tentang ramalan tempoh kerajaan ketika ini boleh bertahan, Mujibu berkata, beliau tidak boleh menjangkakan perkara tersebut.
Katanya, kerajaan sebelum ini tidak bertahan lama dan banyak menghabiskan masa hanya disebabkan memikirkan soal sokongan majoriti serta cara mempertahankan pentadbiran itu.
"Jadi, mereka tidak sempat berbuat apa-apa dan kini kita hanya perlu lihat sejauh mana Anwar boleh kawal individu yang ada dalam Kabinet," katanya.
Cubaan jatuhkan presiden parti
Ahmad Zahid dipercayai mahu mengekalkan sokongan menerusi jawatannya dalam parti.
Terdahulu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap barisan Kabinet yang diumumkan Anwar sebagai paling mengecewakan dalam sejarah negara.
Hal ini kerana, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata, seseorang yang diarah membela diri terhadap 47 pertuduhan jenayah rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram di mahkamah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Meskipun tidak menyebut sebarang nama, namun beliau dipercayai menujukan perkara itu kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Mujibu berkata, disebabkan pentadbiran negara ketika ini merupakan kerajaan campuran, maka tindakan untuk melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri mungkin bertujuan mengekalkan sokongan terhadap Umno.
Selain itu, katanya, Ahmad Zahid juga dipercayai mahu mengekalkan sokongan menerusi jawatannya dalam parti, iaitu sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional (BN).
"Sudah tentu Ahmad Zahid gunakan jawatan Timbalan Perdana Menteri untuk mengekalkan kedudukan dalam Umno, yang kita boleh jangkakan cabaran untuk keluarkan beliau dari Umno itu mungkin kuat (sukar)," katanya.
Terdapat dua kem dalam Umno ketika ini.
Difahamkan, ketika ini terdapat dua kumpulan dalam Umno, iaitu kem Ahmad Zahid dan kem yang tidak sebulu dengan beliau.
Mujibu berkata, kem yang tidak bersependapat dengan Ahmad Zahid itu dipercayai berhasrat menjatuhkan presiden itu ketika pemilihan parti.
"Kita nak tengok cabaran jatuhkan Ahmad Zahid daripada mereka yang berpecah, terutamanya geng-geng (terdiri daripada) Ismail Sabri, bekas menteri Kabinet dan mereka yang ditendang ketika penamaan calon.
"Kalau mereka bergabung mungkin Ahmad Zahid akan berdepan dengan cabaran lebih sukar. Tetapi dalam Umno, ini mungkin soal organik politik, budaya penaungan serta mungkin diamalkan semula budaya politik wang yang dijangka boleh berlaku.
"Kalau ini berlaku, memang sukar sedikit mahu kalahkan Ahmad Zahid," katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid berkata, pemilihan Umno akan dilaksanakan dalam tempoh kurang dari enam bulan selepas PRU15. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram