Watak penting bentuk Kerajaan Perpaduan, Zahid perlu ada dalam Kabinet


  • Politik
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Ahmad Zahid memegang dua portfolio dalam Kerajaan Perpaduan.

PENGUMUMAN Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung barisan Kabinet baharu Kerajaan Perpaduan dilihat mengejutkan ramai pihak.

Masakan tidak, individu yang terlibat dalam kluster mahkamah dilantik menjadi pemimpin tertinggi selepas beliau.

Sedangkan, ramai lagi calon lain dalam kerajaan diterajui Anwar, dilihat lebih layak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Ini termasuk Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri.

Dalam pengumuman pada Jumaat, Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Selain itu, Ahmad Zahid juga memegang portfolio sebagai Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Pada 24 Januari 2022, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Ahmad Zahid membela diri terhadap 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie, bagi semua tuduhan terhadap Ahmad Zahid yang juga pengasas yayasan terbabit.

Rusdi-Omar

Rusdi Omar

Tampil mengulas mengenai perkara itu, Prof Dr Rusdi Omar berkata, mahu atau tidak Anwar terpaksa melantik Ahmad Zahid dalam Kabinet baharu tersebut.

Penganalisis politik itu berkata, ia susulan penglibatan Ahli Parlimen Bagan Datuk tersebut dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan.

"Walaupun ramai rasa pelik bila beliau dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana ada kes-kes mahkamah dan sebagainya, namun mahkamah belum putuskan lagi sama ada beliau bersalah atau tidak.

"Selagi tidak bersalah, selagi itu kita tak boleh nak kata dia bersalah ikut Rule of Law (Kedaulatan Undang-Undang) di Malaysia.

"Ini juga antara lain disebabkan partinya yang mencadangkan namanya," katanya kepada Majoriti.

Terdahulu, Anwar menegaskan, mana-mana individu hanya didapati bersalah apabila selesai dijatuhi hukuman.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mengulas desakan pelbagai pihak yang tidak mahu mana-mana pemimpin politik mempunyai kes mahkamah, termasuk Ahmad Zahid dilantik dalam Kabinetnya.

Peluang 100 hari

Ketika ditanya sama ada keputusan melantik Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri akan mengakibatkan kerajaan ketika ini bertahan hanya dalam tempoh kurang daripada lima tahun, Rusdi menafikan perkara itu.

Sebaliknya, Rusdi berkata, jawatan Ahmad Zahid itu yang menyebabkan Kabinet baharu menyaksikan Umno memperoleh antara lantikan menteri paling ramai.

"Jadi, dari segi keupayaan untuk BN bergerak ke tempat lain saya tak nampak sebab Anwar mengambil kira pandangan GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) dan Umno.

"Oleh itu, kita beri peluang dulu dalam masa 100 hari dan lihat macam mana keupayaan menteri-menteri dilantik. Selepas 100 hari baru kita buat satu kesimpulan sama ada Kabinet sekarang boleh move on atau sebaliknya.

"Tetapi, berdasarkan pengalaman mereka terutamanya Umno, mereka ada pengalaman dalam pentadbiran negara. Jadi, kepakaran mereka diperlukan negara buat masa sekarang," tambahnya.

Selain Ahmad Zahid, antara ahli Umno yang berjaya mendapat portfolio dalam kerajaan termasuk Datuk Seri Mohamad Hasan (Menteri Pertahanan); Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri); Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Menteri Pendidikan Tinggi); Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi) serta Datuk Seri Zambry Abd Kadir (Menteri Luar Negeri). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram