Selain lantikan 2 TPM, ketahui 4 lagi perkara menarik barisan Kabinet 2022


  • Politik
  • Sabtu, 03 Dis 2022

Ahmad Zahid (kiri) dan Fadillah dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

TEKA-TEKI barisan Kabinet baharu bagi Kerajaan Perpaduan sudah pun terjawab, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan jemaah menteri pada Jumaat.

Dalam pengumuman itu, seramai 28 menteri dilantik termasuk Anwar sendiri memegang porfolio sebagai Menteri Kewangan.

Barisan menteri yang dilantik semestinya dilakukan selepas persetujuan antara gabungan parti yang terlibat dalam Kerajaan Perpaduan termasuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gerakan Parti Sarawak (GPS) dan Gerakan Rakyat Sabah (GRS).

Pengumuman itu sudah pasti sedikit sebanyak akan memberi kejutan kepada pelbagai pihak, yang sebahagiannya bersetuju atau tidak bersetuju dengan lantikan jemaah menteri terlibat.

Berikut merupakan perkara menarik tentang barisan Kabinet kali ini:

1) Menteri Agama

file6qpckpf7ne91kffd83sr

Mohd Na'im dilantik sebagai Menteri Agama.

Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dipilih menerajui portfolio agama dalam Kabinet diterajui Anwar.

Beliau akan memegang jawatan itu selaku Senator atau Ahli Dewan Negara bagi menyambung tugas bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad.

Mohd Na'im dilantik sebagai Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie untuk menerajui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) berkuat kuasa pada 1 April 2019.

2) Calon pilihan raya tewas dilantik senator

template - 2022-12-03T011447.036

Tengku Zafrul (kiri) dan Saifuddin (kanan) dilantik sebagai senator.

Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz diumumkan sebagai Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Beliau dipilih semula sebagai Senator bagi menjawat jawatan itu walaupun tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

Tengku Zafrul menyertai Umno bertanding di bawah tiket BN di Parlimen Kuala Selangor dan tewas di tangan calon PH, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau memperoleh 30,031, manakala Dr Dzulkefly menang tipis dengan kelebihan 1,002 undi selepas memperoleh 31,033 undi.

Turut dilantik sebagai senator ialah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin, yang juga Setiausaha Agung PKR itu dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri.

Pada PRU15 lalu, Saifuddin gagal mempertahankan Parlimen Kulim Bandar Baharu apabila tewas kepada calon Perikatan Nasional (PN), dengan majoriti 13,061 undi.

Calon PN, Roslan Hashim meraih 34,469 undi berbanding Saifuddin hanya meraih 21,408 undi.

3) Dua Timbalan Perdana Menteri

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dipilih sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, begitu juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut memegang jawatan Menteri Perladangan dan Komoditi.

4) Tiada wakil MCA, MIC

file7nq7kdt62fa1jgmcy9ib

Anthony Loke dilantik semula sebagai Menteri Pengangkutan.

Tiada wakil daripada parti MCA dan MIC dalam kabinet Kerajaan Perpaduan.

Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sebelum ini dilantik sebagai Menteri Pengangkutan dalam kerajaan terdahulu, manakala Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan menjadi Menteri Sumber Manusia.

Anwar mengumumkan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebagai Menteri Pengangkutan, manakala Ahli Parlimen Batu Gajah yang juga wakil DAP, Sivakumar Varatharaju dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia.

5) Menteri Belia dan Sukan

file7nih1uwjxao1fkrdd4md

Hannah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dipilih sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Hannah pada 2018 pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Sebelum Hannah, Menteri Belia dan Sukan diterajui oleh bekas menteri lelaki termasuk Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (Parti Pribumi Bersatu), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) dan Khairy Jamaluddin (Umno).

Sementara itu, pemimpin wanita yang pernah memegang jawatan sama adalah Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Dato' Othman Said yang juga ketika ini dilantik sebagai Menteri Undang-undang dan Reformasi Institusi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram