SENATOR Dewan Negara, Datuk Ras Adiba Radzi berharap Kerajaan Perpaduan yang dibangunkan dapat memberi peluang sama rata kepada orang kurang upaya (OKU) untuk mendapatkan pendidikan tinggi dan pekerjaan.
Presiden Persatuan OKU Sentral itu juga berkata, pemikiran segelintir masyarakat yang cenderung dalam mendiskriminasi dan tidak memberi layanan secara sama rata terhadap golongan OKU juga harus diubah.
"Jangan diskriminasi kami kerana keadaan fizikal dan keadaan kurang upaya kami.
"Saya harap Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan beri kami (OKU) sokongan yang diperlukan agar komuniti (OKU) terus diperkasa dan diberi hak yang saksama,” katanya.
Ras Adiba yang juga Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) berkata demikian ketika sambutan Hari OKU Antarabangsa 2022 anjuran Yayasan Sime Darby di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Perkara itu diluahkan beliau ketika ditanya mengenai harapan tentang perkara yang perlu diberi perhatian oleh Kerajaan Perpaduan untuk golongan OKU sempena Hari OKU Antarabangsa kali ini.
Hari OKU Antarabangsa disambut pada 3 Disember setiap tahun.
Ras Adiba juga berharap institusi pengajian tinggi di seluruh negara dapat memberikan perhatian kepada keperluan dan kemudahan untuk OKU bagi memastikan golongan itu turut sama menikmati pendidikan tinggi yang berkualiti. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram