Jalan licin angkara berlumut ancam warga PJ


  • Massa
  • Isnin, 28 Nov 2022

Lumut menutupi turapan di Seksyen 6, Petaling Jaya memberi risiko bahaya kepada laluan orang ramai.

TURAPAN jalan yang dilitupi lumut di sepanjang Jalan Selangor di Seksyen 6, dekat Petaling Jaya, Selangor mungkin kelihatan cantik kepada orang ramai yang lalu lalang.

Namun, ia sebaliknya mendatangkan risiko bahaya kepada pejalan kaki.

Warga emas khususnya mendapati, turapan itu terlalu licin dan menyebabkan mereka jatuh.

Pengerusi RT Seksyen 6, Rajesh Mansukhlal berkata, masalah itu tidak diselesaikan sejak sekian lama.

"Saya terjatuh ketika berjalan di atas turapan itu pada 2021 ketika pandemik Covid-19.

"Lumut yang menutupi turapan menyebabkan ia licin dan saya terjatuh. Nasib baik saya tidak cedera teruk.

Katanya, turapan itu menjadi laluan berbahaya bagi warga emas.

Lumut menutupi sebahagian besar laluan pejalan kaki sehingga ke Bulatan Assunta.

"Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) harus memantau keadaan turapan sekurang-kurangnya sebulan sekali.

"Turapan terletak di sebelah jalan raya yang sibuk dan kemalangan juga boleh berlaku. Pejalan kaki juga boleh tergelincir dan jatuh ke jalan utama," katanya.

Seorang penduduk, K. Kanesan mendakwa, dia pernah melihat pelajar sekolah terjatuh akibat permukaan turapan yang licin.

Katanya, orang ramai yang ingin berjoging juga tidak boleh melalui kawasan itu kerana risiko terjatuh.

Ahli Majlis Daerah Petaling Jaya, Bryan Ng ketika dihubungi berkata, MBPJ menyedari perkara itu dan sedang melakukan penelitian.

Beliau menambah bahawa, MBPJ akan membersihkan turapan secara berperingkat. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram