Legenda Kelantan Hashim Mustapha kritikal, menantu mohon doa peminat


  • Podium
  • Sabtu, 26 Nov 2022

Legenda pasukan bola sepak Kelantan, Hashim Mustapha dilaporkan sedang kritikal akibat penyakit kencing manis. — Bernama

LEGENDA dan bekas pemenang anugerah Kasut Emas Liga Malaysia pada 1990, 1993 dan 1994, Mohd Hashim Mustapha dilaporkan dalam keadaan kritikal akibat masalah komplikasi kencing manis.

Mohd Nizab Ayub, menantu kepada bekas penyerang prolifik Kelantan itu berkata, bapa mentuanya kini sedang menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sejak Jumaat.

"Papa (Mohd Hashim) dikejarkan ke hospital selepas mengalami keletihan selain jantung berdegup kencang pada pukul 11 pagi dan telah ditidurkan berikutan keadaan agak kritikal.

"Saya mohon kepada seluruh peminat bola sepak negara mendoakan semoga beliau kembali sembuh seperti sedia kala,” katanya.

Pada bulan lalu, Mohd Hashim, 57, telah menjalani pembedahan memotong kaki kirinya, akibat penyakit kencing manis yang dialami sejak beberapa tahun lalu.

Legenda bola sepak Kelantan itu pernah dinobatkan penjaring terbanyak dan memenangi anugerah kasut emas pada era 90-an dalam saingan Liga Malaysia selain turut mewakili negara pada era tersebut.

Penyerang kelahiran Kota Bharu itu juga pernah dilantik sebagai penolong jurulatih pasukan Kelantan pada 2010 sehingga 2012 dan pernah menjadi ketua jurulatih pasukan Tok Janggut Warriors FC yang beraksi dalam saingan bola sepak divisyen tiga tanah air, Liga M3. Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram