Guna senjata bapa, remaja masalah psikiatri rancang 2 tahun serang sekolah


  • Benua
  • Ahad, 27 Nov 2022

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan suspek berlari ke arah sekolah dengan berpakaian seperti askar serta memegang pistol.

SEKURANG-KURANGNYA tiga individu termasuk seorang remaja perempuan maut dan 11 lagi cedera pada Jumaat apabila seorang remaja berusia 16 tahun melepaskan tembakan ke arah dua sekolah di kawasan tenggara Brazil, kata pihak berkuasa negara itu.

Pihak berkuasa di bandar Aracruz, di negeri Espirito Santo, berkata, penembak itu telah melepaskan tembakan ke arah sekumpulan guru di sekolah lamanya sehingga mengakibatkan dua maut manakala sembilan yang lain cedera.

Dia kemudian meninggalkan sekolah rendah menengah awam itu dan pergi ke sekolah swasta berhampiran, yang mana dia menembak seorang remaja perempuan sehingga maut serta mencederakan dua lagi.

Pihak berkuasa telah menahan penembak itu, kata Gabenor Renato Casagrande yang mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di negeri terbabit.

"Dia adalah pelajar di sekolah (pertama) sehingga Jun, seorang remaja bawah umur 16 tahun. Keluarganya kemudian memindahkannya ke sekolah lain. Kami mendapat maklumat dia sedang menjalani rawatan psikiatri," kata Casagrande pada sidang media.

Rakaman kamera keselamatan (CCTV) yang disiarkan di media Brazil menunjukkan penembak itu berlari ke dalam sekolah, berpakaian tentera dengan lambang Nazi dan mengacukan senjata.

Pegawai berkata, penembak itu yang juga anak anggota polis, menggunakan dua pistol dalam serangan tersebut, yang mana kedua-duanya didaftarkan atas nama ayahnya.

Casagrande berkata, remaja lelaki itu yang ditahan beberapa jam selepas kejadian sebelum itu telah memecah masuk melalui pintu berkunci dan mengepung pengawal keselamatan sekolah.

Pesuruhjaya polis awam, Joao Francisco Filho memberitahu media yang mana suspek telah merancang serangan itu selama dua tahun dan dia tidak mempunyai sasaran yang pasti. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram