SEJAK Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang tampuk pemerintahan negara pada Khamis, belum ada sebarang kenyataan rasmi lagi berkaitan siapa yang bakal menjadi TPM atau menteri.
Setakat ini, cuma ada bayangan beberapa pemimpin utama parti politik yang sama-sama bernaung membentuk kerajaan sahaja dikatakan bakal menjawat jawatan tinggi dalam kerajaan.
Anwar ketika hadir mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 pada Ahad.
Menerusi media sosial, ada beberapa desakan yang mahu bekas menteri di bawah kerajaan sebelum ini diambil semula terutamanya yang tewas dalam Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) dengan dilantik sebagai Senator.
Namun, penganalisis politik, Prof Dr Rusdi Omar berkata, bukan perkara mudah untuk melantik Senator semata-mata untuk diberikan jawatan dalam kerajaan.
"Kalau nak lantik, perlu cari mereka yang betul-betul berwibawa dan berkaliber. Tapi saya lihat tak ramai bekas menteri yang berwibawa pun.
"Lagipun kena lihat pada parti yang mereka sertai sama ada nak pilih atau sebaliknya. Semua bergantung pada pucuk pimpinan parti masing-masing," katanya kepada Majoriti.
Prof Dr Rusdi Omar merasakan tiada bekas Menteri yang cukup wibawa untuk dilantik menjadi Senator.
Menurut Dr Rusdi, menteri yang dilantik nanti perlu dipilih dalam kalangan mereka yang betul-betul boleh buat kerja.
Apatah lagi anggota Kabinet yang baharu nanti mempunyai tugas berat untuk memacu kamjuan negara.
"Kerajaan baharu ini perlu memulih dan mensejahterakan ekonomi negara serta mengatasi masalah kos sara hidup rakyat yang tinggi.
"Lebih-lebih lagi dengan Anwar sendiri sudah menyatakan yang pengurangan perbelanjaan akan dilakukan, memang tak perlu lantik Senator untuk jadi Menteri," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram