Jangan kais pagi makan pagi kalau mahu 'survive' liga musim depan — Pekan


  • Podium
  • Ahad, 27 Nov 2022

Struktur saingan Liga M 2023 menyaksikan 18 pasukan akan beraksi dalam 34 perlawanan Liga Super. — MFL

SAINGAN Liga Malaysia 2022 (Liga M) sudah secara rasmi melabuhkan tirainya pada Sabtu dengan kesemua trofi kejohanan telah menemui pemiliknya.

Johor Darul Takzim muncul juara TM Piala Malaysia 2022 edisi ke-96 selepas menewaskan Selangor FC 2-1 pada Sabtu sekali gus melengkapkan Quadruple koleksi piala kelab tersebut.

Secara keseluruhan, JDT jelas masih lagi berada di kelas tersendiri jika dibandingkan dengan kelab-kelab domestik lain.

JDT muncul selaku juara Liga Super buat kali kesembilan berturut-turut sewaktu saingan masih lagi berbaki empat perlawanan dan itu membuktikan jurang antara mereka dengan kelab-kelab lain.

Sebelum itu, pasukan Harimau Selatan menyambar Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Presiden dan beberapa kejohanan peringkat akar umbi.

Ini menimbulkan persoalan sama ada suasana liga tempatan akan terus didominasi satu pasukan sahaja sekali gus menjadikan persaingan antara pasukan tidak kompetitif.

Pasukan JDT memiliki barisan pemain berkualiti termasuklah pada barisan simpanan. — Facebook/ JDT

Mengulas persoalan tersebut, penganalisis sukan tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli tidak bersetuju sekiranya dikatakan Liga M musim ini tidak kompetitif biarpun JDT masih lagi mendominasi.

Menurutnya dua pasukan yang mencabar 'kedaulatan' JDT sebagai pasukan terbaik Liga M adalah Terengganu FC serta Selangor FC yang disifatkannya sebagai tidak menghairankan.

Namun terdapat dua pasukan dalam liga yang menunjukkan perubahan mendadak pada kempen mereka kali ini jika dibandingkan dengan musim-musim sebelumnya.

"Kemunculan pasukan Sabah pada musim ini mewarnai Liga Super tetapi masih lagi belum cukup untuk menandingi JDT. Sabah sangat menonjol dan menampilkan peningkatan positif di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.

"Pasukan seterusnya yang mengejutkan saya musim ini adalah pasukan Kedah. Kemerosotan prestasi Kedah musim ini menyebabkan mereka gagal untuk muncul sebagai pencabar liga seperti pada musim-musim sebelumnya," katanya kepada Majoriti.

Tiga kelab gugur dari senarai pasukan Liga Malaysia 2023.

Disoal mengenai masalah kelambakan pemain yang bakal 'menganggur' pada musim depan setelah tiga kelab gugur dari saingan Liga Super musim depan, Pekan tidak mahu menyalahkan format liga.

Untuk rekod, Melaka United FC dan Sarawak United FC 'terkeluar' dari saingan Liga Super pada musim depan ekoran daripada masalah kewangan manakala penutupan PJ City atas alasan sukar untuk menyesuaikan diri dengan senario baharu kancah liga bola sepak tempatan musim depan.

Situasi 'pengangguran' itu berlaku setelah Liga Perdana tidak lagi wujud musim depan dan sistem pemotongan mata tidak lagi dapat dilaksanakan bagi 'menghukum' pasukan yang mengalami masalah kewangan.

"Lebih kurang 75 pemain perlu bekerja keras untuk cari pasukan lain. Ini satu unjuran yang tidak begitu baik. Ini bakal membantut prestasi pemain terlibat terutama sekiranya mereka tidak memiliki pilihan untuk bermain dalam Liga Super.

"Saya tak nampak masalah ini dalam konteks penganjuran liga. Sebenarnya ini masalah kelab itu sendiri. Struktur kelab perlu lebih profesional dan berdaya saing. Jangan 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'.

"Kelab perlu pandai buat peracangan lebih ke hadapan supaya kewangan dapat menampung sehingga ke akhir musim. Dengan ini, apapun format dan struktur diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), mereka boleh 'survive'," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram