IMPIAN Selangor FC untuk menjulang Piala Malaysia buat kali ke-34 musnah selepas tewas di tangan Johor Darul Takzim (JDT) dalam perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Sabtu.
Di sebalik kekalahan itu, skuad Gergasi Merah wajar dipuji kerana memberikan saingan sengit dan tekanan kepada Harimau Selatan dengan corak permainan agresif sejak permulaan permainan.
Aksi garang Selangor FC di bawah bimbingan ketua jurulatih, Tan Cheng Hoe memberi satu indikator positif bahawa pasukan itu mampu memberikan saingan sengit kepada kepada kelab-kelab lain dalam Liga Malaysia (Liga M) musim depan.
Seorang pemerhati sukan, Don K-Rul Izham berpendapat Selangor FC dan Cheng Hoe bakal menjadi perkara menarik untuk disaksikan pada musim 2023, lagi-lagi dengan format baharu yang diperkenal Malaysian Football League (MFL).
Import Selangor FC, Richmond Tetteh Ankrah cuba menyekat kemaraan peledak JDT, Fernando Forestieri. — Facebook / MFL
"Dari segi game semalam (Sabtu), ramai peminat tak jangka Selangor akan bermain dalam sistem seperti yang ditunjukkan dalam separuh masa pertama. Mereka bagus.
"Dah lama peminat bola sepak Malaysia tunggu respons satu pasukan yang boleh bermain open play bertemu JDT. Kali terakhir ketika 2017 dulu, Kedah di bawah kendalian Cheng Hoe.
"Hari ini sekali lagi air tangan Cheng Hoe tapi dengan pasukan yang berbeza.
"Kawalan bola, transisi mereka sangat baik. Mereka mengenakan tekanan tinggi secara kolektif dengan baik sekali. Satu kekurangan mereka adalah penyudah yang bagus.
"Mereka boleh cipta tujuh ke lapan cubaan tapi satu pun tak masuk (sebelum penalti). Ini bukan isu taktikal tapi teknikal," katanya di Facebook.
Cheng Hoe katanya, berjaya mengubah Selangor ke satu tahap lebih baik walaupun mereka tidak pulang dengan gelaran juara Piala Malaysia.
"Selangor bukan melalui musim yang baik dalam Liga Super atau Piala FA sebelum Cheng Hoe tiba, tapi dia mengubah pendekatan kelab untuk lebih berani dan mempunyai keyakinan tinggi terutama dalam aspek penguasaan bola," tambahnya.
Corbin Ong (kiri) cuba merebut bola daripada pemain Selangor FC. — Facebook / MFL
Don K-Rul Izham berpendapat, Selangor antara kelab dominan yang memasarkan pemain untuk skuad Malaysia bawah 19 tahun (B-19) dan B-23 negara.
"Pada aku sudah dua musim Selangor keluarkan produk yang banyak dan agak baik. Dari segi pemain tempatan dan fasa pembangunan pemain sudah cukup baik," ujarnya.
Dia berasakan Selangor FC antara lain boleh meletakkan pemilihan sembilan pemain import sebagai prioriti utama pada musim depan.
"Ini kita tak boleh nafikan, sumbangan tenaga luar boleh kuatkan satu-satu team hampir 70 hingga 90 peratus. Tapi jangan kena 'scam' import, tak guna satu sen.
"Untuk rekod, Cheng Hoe pernah menggunakan poacher dan targetman sebelum ini dan salah satu favourite dia juga memiliki seorang ball-playing defender.
"Rasanya bukan masalah besar untuk Selangor dapatkan lapan atau sembilan pemain import," katanya.
Katanya lagi, pemain Selangor boleh memperbaiki stamina, intensiti dalam perlawanan dan taktikal berdasarkan kekurangan pasukan itu ketika menentang JDT pada masa kedua perlawanan.
"Aku harap lebih banyak pasukan atau kelab boleh tampil satu permainan segar macam yang ditunjukkan Selangor," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram