Anwar pengerusikan mesyuarat khas bincang isu kos sara hidup


  • Primer
  • Ahad, 27 Nov 2022

Anwar berkata, mesyuarat mengenai kos sara hidup itu perlu diadakan segera berikutan terdapat keperluan mendesak berhubung isu berkenaan.

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara Tahun 2022 bersama jabatan dan agensi kerajaan bagi membincangkan isu kos sara hidup yang menekan rakyat.

Antara pegawai tinggi kerajaan yang hadir pada mesyuarat bermula 11 pagi Ahad ialah Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus, pegawai-pegawai daripada Jabatan Perangkaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Kewangan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Pada Sabtu, Anwar dilaporkan berkata, mesyuarat mengenai kos sara hidup itu perlu diadakan segera berikutan terdapat keperluan mendesak berhubung isu berkenaan.

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan membincangkan beberapa pelan tindakan segera dan jangka panjang bagi mengatasi masalah berkaitan kos sara hidup.

Pada Jumaat lepas, dalam sidang media pertamanya selepas memulakan tugas rasmi, Anwar menegaskan isu kos sara hidup menjadi keutamaan kerajaan perpaduan pimpinannya bagi mengurangkan beban dialami rakyat ketika ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram