Lantikan Kabinet bukan ganjaran — Anwar


  • Primer
  • Ahad, 27 Nov 2022

Kabinet baharu kerajaan akan diumumkan dalam satu tempoh terdekat.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, amalan yang menjadikan pelantikan menteri sebagai satu bentuk ganjaran akan dihentikan di samping bertegas untuk mengecilkan saiz Kabinet.

"Saya mahu mereka (anggota Kabinet) menyokong saya berdasarkan dasar-dasar saya, dan komitmen saya terhadap tadbir urus yang baik, komitmen saya terhadap usaha anti-rasuah, dan memulihkan ekonomi... itu sebenarnya.

"Sudah tentu kita boleh pertimbangkan satu atau dua kes yang benar-benar diperlukan, tetapi ia tidak sepatutnya dilihat sebagai memberi ganjaran kepada pemimpin politik agar mereka menyokong anda,” katanya

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 di Putrajaya pada Ahad.

Ketika ditanya mengenai tarikh penumuman Kabinet baharu, beliau berkata, ia akan dibuat dalam beberapa hari akan datang kerana beliau sedang berbincang dengan parti-parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

"Saya mengadakan perbincangan yang baik dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg (Pengerusi Gabungan Parti Sarawak) semalam (Sabtu).

"Kemudian, saya perlu berbincang dengan wakil Barisan Nasional (BN), mereka ada jawatankuasa kerja yang akan memberi beberapa saranan,” katanya

Tambah Ahli Parlimen Tambun itu, satu pertemuan dengan Ketua Menteri Sabah, yang juga pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Hajiji Noor akan turut diadakan pada Ahad. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram