Umum Kabinet tak lama lagi, Anwar beri 2 minggu siapkan kertas kerja atasi isu kos sara hidup


  • Primer
  • Ahad, 27 Nov 2022

Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara pada Ahad.

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi tempoh dua minggu kepada kementerian terbabit untuk memberikan cadangan dalam menangani isu kenaikan kos sara hidup.

Kata beliau, strategi itu termasuk cadangan untuk program subsidi bersasar kepada golongan berpendapatan rendah selain menambah baik sektor swasta.

"Tujuan sebenar subsidi adalah untuk mengurangkan beban rakyat, terutama kepada isi rumah yang berpendapatan rendah. Tetapi, selepas mesyuarat kami, subsidi sepatutnya bersasar.

"Jika tidak, golongan kaya juga akan menikmati subsidi yang diberikan. Jadi, saya beri tempoh dua minggu kepada kementerian untuk mengkaji semula kesan subsidi bersasar selain melakukan perbincangan dengan sektor swasta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) 2022 di Putrajaya pada Ahad.

Selain itu, Ahli Parlimen Tambun itu turut memberi pandangan beliau terhadap isu tarif elektrik kerana subsidi yang diterima golongan miskin hampir sama dengan golongan kaya.

"Tarif elektrik sebelum ini jelas memanfaatkan semua golongan, termasuk yang kaya dan juga yang miskin.

"Tetapi, saya rasa ia tidak munasabah kerana subsidi bertujuan meringankan beban golongan berpendapatan rendah. Tarif ketika ini mungkin akan diteruskan, tetapi kepada golongan kaya, ia mungkin dinaikkan," katanya.

Tambah beliau, tempoh berkenaan diberikan kepada agensi dan kementerian tertentu untuk memberi cadangan sebelum dipersembahkan kepada Kabinet untuk tujuan pengesahan.

"Jadi, saya sudah memberikan notis untuk dua minggu dan apabila Kabinet sudah dimuktamadkan, mereka boleh membincangkan proposal yang sudah dirangka," katanya.

Anwar berkata, Kabinet baharu akan diumumkan dalam beberapa hari selepas perbincangan diadakan dengan semua komponen parti kerajaan yang terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS). — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram