Langkah Tropicana? Perjumpaan ahli BN, PAS bukan biasa-biasa, ia tak sepatut berlaku


  • Politik
  • Ahad, 27 Nov 2022

Gambar tular di media sosial memaparkan pertemuan antara pemimpin BN dan PAS iaitu (dari kiri) Annuar Musa, Takiyuddin Hassan dan Ismail Sabri Yaakob.

KECOH di media sosial apabila pertemuan antara pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan PAS di sebuah hotel hingga ada yang melabelkannya sebagai 'Langkah Tropicana'.

Sebelum ini, jatuhnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas mentadbir negara selama 22 bulan juga berpunca daripada pertemuan pemimpin politik yang dikenali sebagai 'Langkah Sheraton'.

Berjayanya Langkah Sheraton itu membuatkan ada yang mengesyaki sesuatu terutamanya melibatkan pertemuan kedua-dua parti seteru itu di sebuah hotel.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menafikan pertemuan itu mempunyai agenda tertentu sebaliknya hanya kebetulan.

azmi hassan

Penganalisis politik dan Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan.

Bagi penganalisis politik dan Geostrategis, Prof Dr Azmi Hassan, kalau kesemua pemimpin itu menafikan perkara itu mempunyai agenda, ia seolah-olah ahli politik terbabit menganggap rakyat sebagai naif dan daif dalam menilai isu berkenaan.

"Sebenarnya dalam keadaan sekarang tak boleh dijalankan perjumpaan secara ramai apatah lagi melihatkan ahli BN dan PAS yang merupakan seteru.

"Akan timbul persepsi yang tidak betul dalam keadaan ini dan bagi saya, perjumpaan itu sebenarnya bukan biasa-biasa," katanya kepada Majoriti.

Belum tentu kerajaan bertahan lima tahun

Ternyata pertemuan di Tropicana Golf & Country Resort itu membawa kepada rasa risau khususnya penyokong Pakatan Harapan (PH) sama ada pemimpin mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat kekal sebagai Perdana Menteri sekurang-kurangnya selama lima tahun.

Menurut Azmi, dia melihat kerajaan yang ada sekarang memang sukar untuk bertahan lama kerana tiada sebarang ikatan persefahaman antara kesemua parti yang membentuk kerajaan.

316668757_714088360072734_9145932577763480690_n

Tiada sebarang ikatan janji berapa lama Anwar akan memegang tampuk pemerintahan negara.

"Paling penting ialah berapa lama sokongan harus diberikan kepada Anwar. Dua tahun? Lima tahun? Sekarang ini tiada sebarang perjanjian yang mengikat mereka.

"Ikatan yang ada sekarang ialah untuk tidak menubuhkan kerajaan sahaja. Sebab itu pertemuan antara seteru politik tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Jelasnya, apa yang berlaku sekarang ialah untuk stabilkan kerajaan. Tetapi kalau jumpa seteru politik, itu sebenarnya bukan langkah untuk stabilkan kerajaan.

Ditanya sama ada apa sahaja tindakan untuk menggulingkan kerajaan adalah satu tindakan derhaka kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA), beliau menolak perkara itu.

"Mungkin tidak sampai ke peringkat derhaka kerana kumpulan berkenaan boleh dakwa tujuan mereka adalah untuk menubuhkan kerajaan yang lebih stabil," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram