Agihan jawatan Kabinet antara 10 perjanjian kerajaan perpaduan PH, BN


  • Politik
  • Rabu, 23 Nov 2022

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkemungkinan akan menjadi Perdana Menteri jika kerajaan perpaduan antara PH dan BN dibentuk.

MESYUARAT Khas Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung pada malam Rabu akan meneliti tawaran dan syarat yang dikemukakan oleh Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sekiranya sokongan diberikan kepada mereka untuk membentuk kerajaan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki kepada media, sebelum menghadiri mesyuarat berkenaan di ibu pejabat Umno, Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur.

Beliau berkata, mesyuarat juga akan membincangkan cadangan pembentukan kerajaan perpaduan yang dihasratkan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Namun, katanya, isu berhubung gesaan beberapa pihak mahu Pengerusi BN dan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan tiada dalam agenda mesyuarat berkenaan.

Beliau berkata, mesyuarat turut akan membincangkan tentang isu 10 Ahli Parlimen BN yang telah menandatangani akuan bersumpah (SD) bagi menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-10 sebelum ini.

"Kita pasti bincang perkara ini kerana satu perkara yang kita kena ingat dalam perlembagaan parti iaitu sebelum semua calon BN menerima watikah, ada empat dokumen perundangan yang perlu ditandatangani iaitu surat tawaran, surat akuan bersumpah, surat perjanjian pencalonan dan surat aku janji.

"Secara kolektifnya keempat-empat dokumen ini memberi indikasi bahawa kerusi yang ditandingi oleh mana-mana Ahli Parlimen BN itu bukan milik peribadi, bukan milik parti-parti komponen tetapi adalah milik BN,” katanya.

Terdahulu, antara pimpinan Umno yang dilihat tiba untuk menghadiri mesyuarat itu setakat pukul 9 malam ialah tiga Ahli MKT iaitu Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Turut hadir Pengerusi BN dan Badan Perhubungan Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir.

Dalam pada itu, memetik laporan dari New Straits Times (NST) mengatakan Pakatan Harapan (PH) dan BN mungkin telah mencapai persetujuan 10 perkara untuk membentuk kerajaan perpaduan.

Konsep dengan gelaran 'Kerajaaan Perpaduan Malaysia" itu dilaporkan akan menyaksikan negara diwakili kerajaan yang kukuh bertahan sepanjang tempoh lima akan datang.

Malah, persetujuan berkenaan juga sudah disahkan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menyatakan perjanjian berkenaan juga didedahkan pada Rabu, lapor Malaysiakini.

Memetik laporan dari Malaysiakini itu, Rafizi berkata, BN dijangka membuat keputusan mengenai perkara berkenaan pada malam ini ataupun Khamis.

Berdasarkan laporan dari New Straits Times (NST), berikut merupakan 10 perkara yang dibuat menerusi kerjasama antara PH dan BN:

1) Tidak akan membubarkan parlimen sebelum ia tamat tempoh lima tahun.

2) Jawatan perdana menteri (PM) disandang oleh pemimpin PH dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada BN.

3) Kerajaan negeri Perak dan Pahang akan diterajui oleh pemimpin BN.

4) Jawatan Kabinet dalam kalangan rakan gabungan akan berdasarkan peratusan kerusi di Dewan Rakyat.

5) Pelantikan mana-mana ahli parlimen BN ke Kabinet mesti mendapat kelulusan Majlis Tertinggi terlebih dahulu.

6) Pelantikan ahli Dewan Negara, jawatan utama dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan jawatan kerajaan lain juga mesti dimaklumkan dan dibincangkan antara PM dan TPM.

7) Jawatan Kabinet pula, portfolio kewangan, perumahan, pembangunan luar bandar dan wilayah, pendidikan, dan pertahanan akan diputuskan oleh PM dan TPM.

8) Agihan jawatan adalah saksama dan setimpal dengan keupayaan dan kepakaran masing-masing.

9) Komposisi kerajaan juga akan merangkumi wakil dari setiap parti, dengan jawatan kanan diberikan sebaik sahaja perbincangan selesa

10) Hala tuju kerajaan junjung Perlembagaan terutamanya dari aspek Islam, Melayu dan Bumiputera dan Raja-Raja. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram