AKHIRNYA, kemelut memilih siapa Perdana Menteri ke-10 selesai dengan pelantikan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kini yang menjadi tanda tanya adalah siapa pula bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri dan barisan Menteri Kabinet dalam kerajaan perpaduan nasional.
Pada Rabu, Majoriti ada melaporkan 10 perkara yang ditetapkan menerusi kerjasama antara PH dan Barisan Nasional (BN) yang berkemungkinan boleh menjadi bayangan kepada siapa pemimpin politik yang berada dalam kerajaan.
Malahan, perkara sama turut dinyatakan Anwar pada sidang media pertamanya di Sungai Long Club House di Kajang, Selangor pada Khamis malam.
Mohamad (kiri) dan Fadillah.
1) Jawatan perdana menteri (PM) disandang oleh pemimpin PH dan Timbalan Perdana Menteri (TPM) daripada BN dan GPS
Jawatan PM sudah diketahui milik Anwar dan pemimpin itu juga sudah memaklumkan bahawa Timbalan Perdana Menteri adalah daripada BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Tentunya figura yang akan mengisi jawatan penting ini akan melalui tapisan bagi memastikan keberkesanan pentadbiran yang diterajui Anwar.
Setakat ini, ada khabar menyatakan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan yang memenangi kerusi Parlimen Rembau dan Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof yang sebelum ini berstatus menteri kanan antara calon untuk memikul tanggungjawab itu.
Saarani (kiri) kekal sebagai MB Perak manakala Wan Rosdy pula dijangka mengekalkan jawatannya.
2) Kerajaan negeri Perak dan Pahang akan diterajui oleh pemimpin BN.
BN dan PH melalui kenyataan bersama bersetuju untuk mengadakan kerjasama bagi membentuk kerajaan negeri di Perak.
Penggabungan itu menyaksikan Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Kota Tampan, Datuk Seri Saarani Mohamad yang juga daripada BN dilantik menjadi Menteri Besar.
Di Pahang pula, kerjasama PH-BN mungkin akan menyaksikan Pengerusi BN Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail terus mengekalkan jawatan Menteri Besar (MB).
PH memiliki jumlah kerusi lebih banyak berbanding BN.
3) Jawatan Kabinet dalam kalangan rakan gabungan berdasarkan peratusan kerusi di Dewan Rakyat.
PH mempunyai 82 kerusi dalam Dewan Rakyat manakala BN pula mempunyai 30 kerusi, selain 22 bagi pihak GPS.
Ini menjadikan barisan anggota Kabinet mungkin akan lebih memihak kepada pemimpin PH tetapi tidak menyisihkan pemimpin rakan gabungannya.
Tidak lupa juga persetujuan Warisan pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang memperoleh tiga kerusi Parlimen di Sabah serta Muda yang diterajui Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk bersama-sama dalam kerajaan pimpinan Anwar.
Selain Ismail Sabri (tengah) dan Guan Eng (kanan), Rafizi juga mungkin akan dilantik menjadi Menteri.
4) Jawatan Kabinet melibatkan portfolio kewangan, perumahan, pembangunan luar bandar dan wilayah, pendidikan, dan pertahanan akan diputuskan oleh PM dan TPM.
Jawatan Menteri Kanan akan diputuskan bersama oleh PM dan TPM tetapi sebagai parti yang memiliki kerusi terbanyak dan berbalik kepada syarat sebelum ini tentunya peratusan kerusi di Dewan Rakyat memainkan peranan.
Faktor latar belakang pendidikan pemimpin terbabit, selain usia mereka perlu diambil kira dalam memastikan jawatan itu diisi politikus yang benar-benar layak.
Dalam hal ini, nama-nama seperti Rafizi Ramli, Adam Adly, Syahredzan Johan, Datuk Dr Dzulkefly Ahmad, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Wee Ka Siong, Lim Guan Eng, Anthony Loke, Datuk Seri S Saravanan berkemungkinan mengisi kekosongan jawatan Kabinet terkini Malaysia.
Atau apakah mungkin Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail juga tersenarai, selain Nurul Izzah dan Khairy Jamaluddin yang masing-masing tewas dalam PRU15 dilantik selaku senator untuk menyumbang khidmat kepada rakyat.
Apa yang pasti, semua parti terlibat dalam kerajaan perpaduan nasional ini perlu berbincang lebih lanjut bagi mencari penyelesaian terbaik untuk memastikan terbentuknya kerajaan yang stabil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram