SEBAGAI individu yang mengalami masalah pekak, Md. Herman Saidin, 41, tidak pernah menganggap kekurangan diri sebagai penghalang untuk mengecapi kejayaan dalam hidup.
Lelaki dari Labuan, Sabah yang mesra disapa Herman itu berkata, golongan orang kurang upaya (OKU) harus mempunyai keyakinan tinggi dan fokus pada matlamat hidup.
“Walaupun kita ini OKU, jangan anggap kecacatan diri kita ini sebagai penghalang bagi melakukan sesuatu perkara. Jangan tengok kelemahan diri, tapi yakin dengan sumbangan yang kita boleh buat untuk negara dan masyarakat sekeliling," katanya.
Herman (kiri) suka membuat kerja-kerja amal kerana dan aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti sukarelawan. — Facebook
Pengerusi Persatuan Bagi Orang-Orang Istimewa Labuan berkata, selama lebih 30 tahun menjadi tutor bahasa isyarat, dia sudah membimbing pelajar dalam kalangan OKU pekak, murid bermasalah pembelajaran dan kanak-kanak austime.
Menurutnya, semua dibantu melalui Persatuan Bagi Orang-Orang Istimewa Labuan dan Persatuan Orang Pekak Labuan.
"Saya ajar mereka dalam pelajaran dan asas kemahiran. Ada antara mereka yang sudah berjaya keluar ke alam pekerjaan, menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi malah ada yang memulakan perniagaan sendiri,” katanya kepada Majoriti.
Herman yang juga anak kedua daripada tujuh beradik berkata, arwah ibu, Fatimah Yahya menjadi inspirasi kepadanya untuk berbakti kepada golongan yang senasib dengannya.
Herman (dua kanan) aktif membantu rakan-rakan OKU yang lain dengan mengajar bahasa isyarat sejak lebih 30 tahun dahulu. — Facebook
Katanya, ketika wanita itu masih hidup, dia suka membuat kerja-kerja amal kerana dan aktif dalam melakukan aktiviti-aktiviti sukarelawan.
"Sejak kecil lagi, saya sering menemani ibunya menghadiri program-program sukarelawan.
“Ibu saya sudah berkhidmat selama 25 tahun dalam aktiviti sukarelawan dan juga merupakan penyelia bagi persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Labuan.
“Kesabaran dan ketabahan beliau dalam membimbing serta mengajar anak-anak OKU membuatkan saya kagum sekali gus mendorong saya untuk menjadi sepertinya.
“Saya berasa puas kerana dapat berbakti kepada masyarakat yang sentiasa memerlukan. Saya sedar yang saya tidak dapat membantu mereka dari segi kewangan tapi punya tenaga untuk membantu mereka,” katanya.
Herman (depan) ingin membantu anak-anak OKU pekak di Labuan dengan mengajar mereka bahasa isyarat. — Ihsan Herman
Pernah dinobatkan sebagai salah seorang pemenang Anugerah My Hero 3.0, Herman berkata, didorong sifat murni arwah ibunya itu, dia berkecimpung menjadi tutor bahasa isyarat di Labuan.
“Saya sendiri pekak OKU, tetapi saya ingin membantu anak-anak OKU pekak di Labuan dengan mengajar mereka bahasa isyarat supaya lebih mudah untuk mereka berkomunikasi, mendapatkan pendidikan yang sewajarnya dan mencari kerja.
“Sehubungan itu, selepas tamat sekolah menengah, saya mula bergiat aktif dalam persatuan untuk membantu rakan-rakan OKU yang lain untuk mengajar bahasa isyarat dan pada 2005, saya tekad meneruskan pembelajaran yang lebih mendalam mengenai bahasa isyarat di Persekutuan Orang Pekak Malaysia (MFD).
“Arwah ibu saya juga banyak memberikan galakan untuk membantu rakan-rakan senasib seperti kami. Pada masa sama, saya mahu melihat anak–anak pekak di Labuan mendapatkan pendidikan yang sama dengan rakan-rakan di Semenanjung Malaysia,” katanya.
Mendapat pendidikan di Cybernetics International College Of Technology dalam bidang Diploma Pengurusan Sumber Manusia, Herman memberitahu, dia akan meneruskan inisiatif kerja-kerja sukarelawan untuk membantu anak-anak OKU di Labuan khususnya.
"Kalau tiada orang yang nak tolong, siapa lagi yang nak bantu golongan seperti kami.
"Saya berharap kisah ini menjadi inspirasi kepada orang ramai dalam kalangan OKU dan bukan OKU akan bersama-sama berganding bahu untuk meringankan beban antara satu sama lain," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram