
DR KJ John mungkin kehilangan wang deposit pilihan raya tetapi calon Bebas yang bertanding di kerusi Petaling Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) itu tetap akan memperjuangkan masalah golongan B40 di Desa Mentari, Petaling Jaya.
Menurutnya, dia tetap akan menunaikan ikrarnya kepada masyarakat yang dikenali sepanjang tempoh berkempen.
“Saya berjanji kepada penduduk Desa Mentari yang saya akan melawat mereka setiap enam bulan hingga suara dan tangisan mereka didengari oleh Kerajaan Persekutuan," katanya.
KJ John berkata, sesi dialog bersama komuniti B40 membuka matanya tentang kesukaran hidup yang dialami mereka.
Pada masa sama, dia turut mempersoalkan proses kelulusan projek penempatan semula di Desa Mentari selain kekurangan kemudahan asas di projek perumahan itu
"Perumahan ini memiliki lapan blok rumah pangsa bertingkat tinggi tanpa banyak kemudahan asas.
"Setiap unit memiliki tiga bilik dan kebanyakan unit di situ mempunyai lebih enam penghuni bagi sesebuah rumah," katanya.
KJ John
Calon Barisan Nasional dari komponen parti MCA, Chew Hian Tat yang turut tewas di kerusi Petaling Jaya berkata, dia menerima dan menghormati keputusan pengundi di P105 (kawasan Petaling Jaya).
“Walaupun kami bekerja keras untuk berkhidmat kepada rakyat, terutamanya semasa pandemik Covid-19, malangnya, kami masih kalah dalam perlawanan pusingan ini.
“Terima kasih kepada pasukan saya yang bekerja keras sejak hari penamaan calon dan maaf kepada penyokong saya kerana tidak dapat menjadi Ahli Parlimen anda,” kata Chew.
Beliau menyeru Ahli Parlimen baharu, Lee Chean Chung (Pakatan Harapan-PKR) supaya mengotakan janji dan sentiasa bersedia berkhidmat untuk rakyat.
Datuk Theng Book (Perikatan Nasional-Bersatu) pula berpuas hati dengan keputusan apabila memperoleh undian kedua tertinggi iaitu 32,736.
Chean Chung memenangi kerusi Petaling Jaya dengan majoriti 50,575 undi.
KJ John telah hilang deposit kerana menerima 461 undi. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram