Tunjuk pas petugas, jari berdakwat dapat makanan percuma, peniaga di luar pusat undi Saujana Utama buat amal


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Khairul (kiri) melihat usaha itu adalah satu bentuk penghargaan kepada mereka yang menjalankan amanah dan tanggungjawab.

PENGUNDI dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di pusat mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Utama bagi Parlimen Sungai Buloh menerima ganjaran istimewa apabila beberapa gerai mengagihkan makanan secara percuma.

Ia bertujuan menghargai setiap penat lelah petugas dan pengundi yang membuang undi di lokasi pengundian itu.

Bermula dari pukul 8.30 pagi, sebanyak tiga gerai jualan menyediakan makanan dan air percuma buat pengundi dengan syarat perlu menunjukkan pas petugas ataupun jari berdakwat kepada penjual.

Antara yang mencuri perhatian, semestinya gerai Syukor Burger yang difahamkan telah mengedarkan hampir 150 biji burger kepada pengundi yang layak.

Penjual, Khairul Adnan, 29, berkata, selain daripada menggalakkan orang ramai mengundi, ia juga bertujuan bagi mengembangkan lagi perniagaan mereka kepada orang ramai.

“Niat kami memang nak bersedekah dan beri galakan orang ramai turun mengundi dan juga terbuka untuk sebarang tempahan jika ada yang mahu.

“Selalunya sebiji burger kami jual harga RM5 tapi hari ini kami bagi secara percuma kepada semua yang memenuhi syarat,” katanya kepada Majoriti.

Selain itu, penjual ais krim juga turut menyumbang kepada ramai apabila memberikannya secara percuma buat pengundi dengan syarat perlu membuat pembelian sekurang-kurangnya satu ais krim.

Meskipun mempunyai syarat sedemikian, ia nyata tidak membantutkan keinginan orang ramai apabila rata-ratanya turut mendapatkan tawaran tersebut.

WhatsApp Image 2022-11-19 at 16.30.47

Aiskrim turut diberikan secara percuma kepada pengundi dan petugas yang berkhidmat.

Hasil tinjauan Majoriti mendapati lokasi terbabit masih dipenuhi pengundi yang sedang beratur dan menunggu giliran untuk membuang undi di saluran masing-masing.

Namun, keadaan difahamkan berjalan dengan lancar tanpa sebarang gangguan mahupun kejadian buruk yang berlaku setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram