BEBERAPA pusat pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) seluruh negara dilanda banjir berikutan hujan lebat yang turun sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Antara kawasan yang terkesan adalah sebahagian daerah di Sarawak terutamanya Miri dan Limbang dilaporkan antara lokasi yang teruk terjejas.
Namun, isu tersebut jelas tidak menjejaskan semangat pengundi yang bersemangat untuk menjalankan kewajipan mereka demi masa depan negara.
Perkara tersebut dikongsikan pengguna media sosial menerusi laman Facebook Kayanfm Miri yang memaparkan orang ramai sanggup meredah air banjir meskipun terpaksa menggunakan sampan dan bot.
"Suasana di Pusat Mengundi Kampung Long Bemang, Parlimen Baram. Orang ramai meredah air untuk tunaikan tanggungjawab mengundi," tulisnya.
Hantaran itu dibuat berserta gambar yang menunjukkan pengundi dengan latar belakang serta lapisan usia berbeza menunggu giliran masing-masing.
Berdasarkan gambar yang dikongsikan, air banjir dilihat berada di tahap lutut dewasa, sekali gus jelas membuktikan situasi banjir itu berada pada tahap serius dan dijangka bakal berlarutan buat satu tempoh panjang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram