'Menang atau kalah saya tetap di sini', calon Warisan Parlimen Batu harap YB pilihan tingkat kualiti hidup penduduk


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Naganathan ketika ditemui di pusat pengundian di SK Bandar Baru Sentul pada Sabtu.

HARI pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu merupakan penentu kemenangan kepada calon-calon bertanding, selain menyaksikan penubuhan kerajaan baharu.

Oleh itu, rakyat negara ini layak memilih calon yang benar-benar berwibawa bagi mengangkat suara mereka di kawasan masing-masing.

Calon Warisan yang bertanding kerusi Parlimen Batu, Naganathan Pillai berkata, beliau sudah melakukan yang terbaik buat penduduk di kawasan itu.

33b7987b-f85a-42a5-aa21-36589e326fd8

Jelas ahli perniagaan berpengalaman itu, beliau masih menganggap penduduk kawasan tersebut sebagai keluarganya, tidak kira sama ada menang atau kalah dalam pilihan raya berkenaan.

"Saya sudah buat kerja selama lebih 20 tahun. Menang atau kalah, saya akan tetap berada di sini. Parti kita (Warisan) kecil," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul, dekat Sentul, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Fokus PPR

9a676e21-637a-4141-9b5b-d246a7c912cd

Naganathan (kiri) bergambar bersama penyokongnya.

Calon yang baru pertama kali bertanding dalam pilihan raya itu berharap supaya Ahli Parlimen yang bakal dipilih di kawasan tersebut dapat meningkatkan kualiti dari segi pelaksanaan polisi, membuat keputusan dan mampu berfikir di luar kotak.

Apatah lagi, katanya, 70 peratus penduduk di situ adalah rakyat marhaen yang tinggal di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR).

"Oleh itu, saya berharap penduduk di PPR ini lebih banyak diberi perhatian manakala pengurusan PPR juga perlu lebih terurus.

Anak kelahiran Sentul itu berkata, peruntukan bantuan kewangan kepada 120,000 penduduk Batu adalah antara isu yang perlu difokuskan.

Sebagai contoh, katanya, setiap orang diberi bantuan sebanyak RM1,000, namun jumlah itu sebenarnya tidak cukup bagi menampung kehidupan di kawasan bandar.

"Sekurang-kurangnya kena ada RM120 juta. Walhal, peruntukan yang diberi kerajaan hanya RM2 juta hingga RM3 juta.

"Macam mana saya nak bahagi peruntukan jumlah itu kepada 120,000 orang merupakan suatu isu," jelasnya.

file7nj0x4r0639b9fe4lub

Seramai 10 calon bertanding di kerusi Parlimen Batu.

Parlimen Batu merupakan antara kerusi panas PRU15, apabila menyaksikan seramai 10 calon bertanding di kawasan itu.

Selain Naganathan, turut bertanding adalah penyandangnya yang juga calon PKR, P. Prabakaran serta calon Bebas, Tian Chua.

Malah, pertembungan kali ini juga menyaksikan personaliti media sosial yang juga ahli perniagaan Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin yang lebih dikenali dengan nama Cleopatra (Bebas); peguam, Siti Kasim (Bebas); serta peguam, Wan Azliana Wan Adnan dari Pejuang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram