Pengundi DUN Tioman memilih 7 Disember


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

SPR mengumum tarikh baharu pengundian DUN Tioman berikutan salah seorang calon meninggal dunia.

TARIKH Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang ditunda kepada 7 Disember.

Perkara itu berikutan kematian calon Perikatan Nasional (PN) Md Yunus Ramli, 61, pada awal pagi Sabtu.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh, penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum kerusi terbabit ditetapkan pada 24 November sementara pengundian awal 3 Disember depan.

PRU15

“Permohonan undi pos bagi PRU15 DUN Tioman, Pahang dibuka daripada 19 November manakala ditutup 22 November.

“Permohonan undi pos bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, anggota tenter dan petugas media) hendaklah memohon secara manual menggunakan borang 1A dimuat turun daripda portal rasmi SPR dan dihantar ke pejabat pegawai pengurus Rompin.

“Bagi permohonan undi pos kategori 1B (warga Malaysia yang berada di luar negara) dan kategori 1C (agensi atau organisasi) dilaksanakan secara dalam talian,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Md Yunus dilaporkan tidak sedarkan diri sebelum dikejarkan ke Hospital Rompin dan disahkan meninggal dunia pukul 3.30 pagi Sabtu ketika mendapat rawatan.

Allahyarham daripada PAS sepatutnya bertanding dengan Datuk Seri Mohd Johari Hussain dari Barisan Nasional, Mohd Fadzli Mohd Ramly (PH-Amanah), Osman A Bakar (Pejuang Tanah Air) dan Sulaiman Bakar (Bebas). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram