TARIKH pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang jatuh pada 19 November merupakan hari istimewa buat seorang wanita.
Pada hari tersebut, Lily Lee bukan sahaja menyambut hari kelahirannya yang ke-60, malah dia juga akan membuang undi buat kali pertama selepas 39 tahun, di kampung halamannya dekat Batu 11, Cheras yang terletak di kawasan Parlimen Bangi, Selangor.
"Proses pengundian adalah detik nostalgia bagi saya. Saya dan adik-beradik saya tiba dengan kereta berasingan. Saya juga bertemu dengan rakan-rakan zaman sepermainan, yang ada di antara mereka tidak saya temui sejak berkahwin dan berpindah ke Kuala Lumpur untuk bekerja," katanya.
Antara rakan zaman sepermainan wanita itu yang hadir membuang undi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Batu 11, Cheras adalah calon Barisan Nasional-MCA, Datuk Hoh Hee Lee yang bertanding di kerusi Parlimen Bangi.
Lee mengakui dia masih teringat kenangan zaman kanak-kanaknya bersama Hee Lee ketika mereka bermain permainan baling selipar dan menembak gelang getah.
Wanita yang berpindah semula ke Batu 11 untuk bersara berkata, pada mulanya dia mahu sambutan meriah untuk hari kelahirannya, namun berubah fikiran apabila mendapat tahu bahawa PRU15 jatuh pada hari sama.
"Saya masih akan meraikannya tetapi hanya dengan ahli keluarga. Kami telah menempah meja di sebuah restoran Cina dengan hidangan roti dan mi," ujarnya.
Ditanya sama ada dia khuathir sekiranya suasana Batu 11 lebih sunyi berbanding Kuala Lumpur, wanita itu berkata, kehidupannya akan menjadi tenang kerana ramai rakannya turut berada di situ.
"Sejak sempadan negara dibuka, saya dan rakan-rakan sudah banyak kali melancong. Kami baru pulang dari Itali dan Greece. Kami merancang untuk melakukan lebih banyak perjalanan tahun depan," katanya.
Bercakap mengenai harapan ketika menyambut ulang tahun kelahirannya, dia mahukan kesihatan dan bahagia.
"Saya juga mengharapkan keamanan. Paling penting, tidak kira parti mana yang menang, semua mesti bekerjasama untuk kebaikan rakyat dan negara," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram