Masih boleh 'celup jari' meskipun positif Covid-19


  • Politik
  • Sabtu, 19 Nov 2022

Tiada laluan khas disediakan buat mana-mana pesakit Covid-19 menunaikan tanggungjawab mereka pada PRU15. — Gambar hiasan

SEORANG pengundi dipercayai positif Covid-19 dibenarkan memotong barisan semasa menunggu giliran, sekali gus menyebabkan sedikit kekecohan di pusat pegundian Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Maluri, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Seorang pengundi, Muhammad Amirul, 32, mendakwa, semasa sedang menunggu giliran, seorang petugas membawa seorang individu yang dipercayai pesakit Covid-19 memotong barisan untuk mengundi.

"Semasa menunggu giliran untuk mengundi, saya beratur seperti yang diarahkan, selepas itu datang seorang petugas bawa seorang pengundi potong barisan.

"Jadi, saya tanya kepada petugas itu kenapa beri individu tersebut potong barisan dan petugas itu menjawab kerana individu tersebut Covid-19.

"Saya kemudiannya menegur petugas terbabit kenapa biarkan individu tersebut mengundi awal, bukan ke sudah diberitahu bahawa pesakit Covid diberikan masa tertentu," katanya pada Majoriti.

Tambahnya lagi, perkara terbabit membuatkan timbul rasa kerisauan wujudnya kluster PRU15 serta keselamatan anak-anak di rumah.

"Saya dah suruh petugas terbabit menyuruh individu itu untuk datang waktu petang, kerana bimbang pesakit itu akan buka mask dan menggunakan pen yang sama.

"Saya harap benda ini tak akan timbul lagi, sebab saya bimbang kerana bakteria benda yang kita tidak boleh nampak.

"Jadi saya risau keselamatan anak-anak di rumah dan tidak mahu timbul kluster PRU15 selepas proses pegundian ini berlaku," ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar memaklumkan tiada sebarang saluran khas diberikan kepada pengundi yang disahkan positif Covid-19 temasuklah bekas dakwat untuk mencelup jari selepas membuang undi.

Khairy Jamaluddin turut meminta semua pengundi untuk memakai pelitup muka ketika berada di pusat mengundi bagi mengekang penularan jangkitan Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram