KEMPEN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Parlimen Putrajaya yang kian rancak, dicemari dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab merosakkan bahan kempen calon Barisan Nasional (BN) di kawasan itu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
Tengku Adnan pada Sabtu mendakwa, terdapat beberapa bahan kempennya dirosakkan individu yang dipercayai bukan daripada komuniti Putrajaya.
"Saya rasa sedih sedikit kerana tidak pernah selama empat kali pilihan raya (di Parlimen Putrajaya)...ada orang cat poster saya, pangkah poster saya dan jahanamkan benda yang BN telah pasang, ini tidak pernah berlaku.
"Kita telah buat laporan polis kerana kita tidak mahu perkara ini terjadi di Putrajaya kerana ini tempat yang aman," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyantuni orang ramai di Anjung Floria di Putrajaya, pada Sabtu.
Pada Jumaat, satu laporan polis dibuat oleh wakil BN di Balai Polis Presint 11, berhubung beberapa poster dan bahan kempen Tengku Adnan di Putrajaya telah diconteng dan ditulis dengan kata-kata kesat menggunakan cat berwarna hitam.
Tengku Adnan meminta supaya perbuatan khianat itu dihentikan segera kerana ia mencemarkan imej komuniti Putrajaya, yang mempunyai etika dan mengamalkan konsep kekeluargaan.
"Saya sarankan berhentilah, jangan buat benda-benda mungkar...kita tidak mahu ia berlaku di Putrajaya. Bertandinglah secara baik," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan menerima dua laporan berhubung perbuatan merosakkan poster itu.
"Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat," katanya.
Parlimen Putrajaya menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Tengku Adnan (BN), Datuk Dr Radzi Jidin (Perikatan Nasional), Datuk Mohd Rosli Ramli (Pejuang), Dr Noraishah Mydin Abdul Aziz (Pakatan Harapan) serta dua calon Bebas iaitu Lim Fice Bee dan Samsudin Mohamad Fauzi. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram