Beza ideologi antara punca PH gagal tunai manifesto PRU14


  • Politik
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Saat-saat indah pemimpin PH berkumpul ketika memenangi PRU14 pada 2018.

KIRA-KIRA seminggu sahaja lagi tarikh penentuan negara bakal diterajui oleh kerajaan baharu.

Tidak dinafikan, rakyat negara ini masih ada yang berbelah bahagi memikirkan parti dan calon yang bakal menjadi pilihan hati pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Selain mengambil kira sejarah pentadbiran sesebuah parti, manifesto yang ditawarkan adakalanya membuatkan rakyat rambang mata.

33b7987b-f85a-42a5-aa21-36589e326fd8

Antara parti yang sudah mengumumkan manifesto termasuk Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Namun, ada segelintir berpendapat bahawa, manifesto ditawarkan oleh PH pada PRU14 tidak tertunai, meskipun selepas parti itu diberi peluang menerajui negara selama 22 bulan.

1803501

Jeniri Amir

Tampil mengulas, Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata, sebahagian besar manifesto PH tidak dapat ditunaikan berikutan tidak realistik, manakala janji ditabur hanya semata-mata untuk menambat hati rakyat.

"Jadi, saya rasa mereka sudah fikir banyak pengajaran dengan tidak mengemukakan sesuatu yang sukar digapai, termasuk tidak menetapkan pelaksanaan manifesto 100 hari.

"Ketika ini mereka cuba meringkaskan manifesto dan saya percaya mereka akan berusaha sedaya upaya untuk melaksanakannya," katanya kepada Majoriti.

Oleh itu, Jeniri Amir menyarankan semua pengundi supaya menilai setiap manifesto yang ditawarkan oleh parti-parti yang bertanding.

"Pengundi perlu melihat semula adakah perkara yang ditawarkan itu dapat dilaksanakan atau sekadar janji.

"Bagi mana-mana parti politik, manifesto itu harus dianggap sebagai akurjanji atau kontrak antara parti dan pengundi. Ia tidak boleh dilihat sebagai kitab Injil (suci)," katanya sambil menambah bahawa setiap parti harus diberi peluang memerintah pada PRU15.

81435728078_ATORY (1)

Ahmad Atory

Sementara itu, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain pula menganggap, manifesto ditawarkan oleh PH pada PRU14 mampu dilaksanakan.

Apatah lagi, penganalisis politik veteran itu berkata, kebanyakan ahli politik yang berada di dalam parti itu merupakan golongan bijak pandai serta memiliki kerjaya hebat seperti doktor dan peguam.

Namun, katanya, akibat perbezaan pendapat dan ideologi antara parti komponen, janji-janji tersebut sukar ditepati.

"Oleh itu, mereka perlu cari manifesto yang mudah dan banyak persamaan ketika ini.

"Terpulang kepada rakyat kalau nak bagi peluang kepada mereka (memerintah semula), namun PRU14 sememangnya suatu pengajaran besar," tambahnya.

50c8

Antara manifesto ditawarkan PH pada PRU14.

Untuk rekod, antara manifesto PH pada PRU14 yang gagal dilaksanakan termasuk pemansuhan tol dan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta menurunkan harga barangan.

Pada PRU15, PH melancarkan manifesto 10 Tawaran Harapan yang menggariskan penyelesaian kepada tangani isu kos sara hidup; perangi rasuah dan kukuhkan institusi demokrasi; perkasa peluang ekonomi belia dengan terokai sektor manusiawi; serta selamatkan generasi tercicir dalam pendidikan.

tawaran-harapan-pru15

10 Tawaran Harapan merupakan manifesto PH pada PRU15.

Turut ditawarkan penyelesaian kepada bina ketahanan bencana dan mantapkan perlindungan; tangani isu doktor kontrak dan menjamin kebajikan penjawat kesihatan; hapuskan isu kesaksamaan gender dan memperkasa sosioekonomi wanita; perkasa Wilayah Sabah dan Sarawak; tingkatkan daya saing setiap rakyat Malaysia; serta pelihara khazanah alam demi generasi akan datang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram