Serius atau kelakar? 'Posting' unik calon Pejuang bikin pengundi tertanya-tanya


  • Politik
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Mohd Rostam sempat ber'posing' dalam poster pilihan raya (kiri), manakala gambar kanan memaparkan kehadirannya ketika hari penamaan calon. — Twitter

SEMPENA Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bakal berlangsung tidak beberapa lama sahaja lagi, pelbagai ragam boleh dilihat dalam kalangan ahli politik demi menarik undi penduduk negara ini.

Aksi calon-calon yang bertanding ketika berkempen bukan sahaja mencuit hati, malah ada juga dilihat pelik untuk dipertontonkan kepada umum.

Antara yang menjadi perhatian adalah beberapa keping gambar memaparkan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng makan bersama penduduk tempatan dalam satu program baru-baru ini.

Selain itu, rata-rata netizen terhibur dengan gelagat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang bertukar profesion menjadi mekanik ketika berkempen.

Bukan itu sahaja, aksi Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan yang sibuk membersihkan kawasan sebagai salah satu cara berkempen turut menjadi bualan netizen di media sosial.

Terbaharu, aksi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku di daerah Lipis, Pahang ini dianggap lain dari lain dan mencuit hati pengundi.

Tatkala calon-calon lain giat bersemuka dengan orang ramai ketika berkempen, Mohd Rostam Mustapha yang bertanding di bawah tiket Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengambil pendekatan berbeza.

Beberapa keping gambar tular di media sosial memaparkan aksi unik calon tersebut, yang juga seorang penulis dengan nama pena Stam Mustapha.

Ia antara lain memaparkan dia meluangkan masa bergurau dengan lembu ketika sesi kempen di Kampung Relong, Kuala Lipis, Pahang.

Perkara itu seperti dikongsi Pejuang Muda Lipis di laman Facebook dan mendapat persoalan netizen.

Dextromth Abdullah menulis: "Ini lawak kan? Bukan betul-betul kan?"

Haleem Ah Leem menyoal: "Ni double meaning ke?"

Malah, gambar calon tersebut yang dilihat melawat kawasan perkuburan juga mendapat perhatian ramai.

Screenshot 2022-11-11 163837

Tangkap layar hantaran Twitter memaparkan aksi Mohd Rostam ketika melawat kawasan perkuburan baru-baru ini.

Anehnya, pusara yang dilawati merupakan milik orang tersayang pengundi-pengundi di kawasan ditandinginya.

Perkara itu dikongsikan di laman Twitter @pipiyapong.

Darian Mastar berkata: Wow. Achievement Unlocked ni. Haha. Apa kata lepas ziarah tu minta dia bersihkan kawasan kubur tu pula tapi pastikan ade cameraman standby. Imam, paranormal pun standby kot dia tiba-tiba s***l. Cadangan."

S10_ menambah: Ade can (peluang) menang ni. Sure terharu anak-anak yang jauh tak dapat balik tengok kubur mak ayah deme."

Screenshot 2022-11-11 164157

'Mesyuarat' yang diadakan Mohd Rostam bersama 'pengurus kempennya' Firdaus Abdillah Hamzah atau lebih dikenali dengan nama Pipiyapong.

Pada masa sama, gambar calon itu yang kononnya bermesyuarat di ibu pejabat Pejuang DUN Padang Tengku turut menjadi persoalan netizen, apabila dilihat hanya berbincang dengan seorang lelaki.

Masakan tidak, gambar yang dikongsi di Twitter itu memaparkannya bercangkung di atas lantai sambil memerhatikan lelaki tersebut menulis di atas tangga.

Selain dianggap unik, tindakannya juga menjadi tanda tanya pengundi sama ada dia berniat menyindir calon parti lain yang melakukan 'drama' ketika pilihan raya atau sebaliknya.

Bagi merebut DUN Padang Tengku, Mohd Rostam akan berdepan saingan empat penjuru dengan penyandangnya, Datuk Mustapa Long (Barisan Nasional); Ruzi @ Nata Yusoff (Pakatan Harapan) dan Muhamad Khaider Kamil (Perikatan Nasional).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram