PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bukan sahaja menampilkan muka lama dan calon baharu sebagai salah satu strategi parti politik menawan hati pengundi malah turut diwarnai dengan penampilan wanita jelita sebagai calon.
Tiada siapa mampu memberi jawapan yang tepat terhadap keberkesanan strategi yang digunakan parti politik sehinggalah keputusan PRU15 diumumkan sebaik tamat pengiraan undi.
Setiap strategi yang digunakan mempunyai kebaikan serta keburukan dan pengundi akan menjalankan kewajipan memilih calon yang dirasakan layak untuk mentadbir kawasan mereka.
Berikut antara kelebihan dan kekurangan calon tiga kategori bakal Yang Berhormat yang bersaing kali ini:
Muhammad Syahmi Suhaimi dan Auzaie Fadzlan Shahidi
Calon ubi muda
Penampilan calon baharu menjadi antara strategi parti politik untuk menawan hati pengundi. Kebanyakan calon ini mempunyai kelebihan dari segi akademik, pengalaman dan latar belakang yang dirasakan mampu mentadbir sesuatu kawasan.
Kelebihan strategi calon muda ini membuktikan parti mahu membuat perubahan dan berani mengambil langkah bagi memastikan parti mereka terus relevan.
Strategi ini juga mampu memberi peluang kepada calon muda menimba ilmu dan pengalaman menjadi ahli politik selain meneruskan legasi parti pada masa hadapan.
Bagaimanapun, kehadiran calon muda sebagai wakil parti bukan sesuatu yang dapat menawan hati pengundi dengan mudah kerana faktor individu yang berpengalaman dan boleh dipercayai turut diambil kira.
Antara calon ubi muda yang bakal bertanding pada PRU15 adalah calon Pejuang, Auzaie Fadzlan Shahidi, 27, yang akan bertanding di Parlimen Larut manakala pesaing paling muda kali ini adalah Muhammad Syahmi Suhaimi, 23, dan akan bertanding mewakili Pakatan Harapan bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tambun Tulang di Perlis.
Tengku Razaleigh Hamzah dan Tun Dr. Mahathir Mohamad
Calon kuda tua
Calon kuda tua atau veteran sememangnya tidak asing dalam dunia politik kerana mereka adalah individu yang mempunyai pengalaman luas dalam menawan hati pengundi.
Jadi, tidak hairan mengapa mereka masih kekal dalam dunia politik pada hari ini, kemampuan mereka untuk terus memberi saingan tidak boleh disangkal lagi dan kebanyakan kuda tua ini mempunyai pengaruh dan penyokong yang kuat.
Bagaimanapun, ada yang mempertikaikan kerelevanan mereka kerana sudah tua dan kemampuan dari segi fizikal untuk mentadbir atau melakukan tugas sebagai wakil rakyat.
Antara golongan veteran yang akan bertanding pada PRU15 melibatkan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad yang akan bertanding di kerusi Parlimen Langkawi pada usia 97 tahun dan ahli Parlimen paling lama dari Barisan Nasional (BN), Tengku Razaleigh Hamzah, 85, yang akan bersaing kali ke-13 untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang.
Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin dan Young Syefura Othman
Calon jelitawan
Mempunyai rupa paras yang cantik menjadi sandaran beberapa parti politik untuk menawan hati pengundi.
Bukan sahaja rupa paras menjadi sandaran malah mereka digelar 'beauty with brain' selepas memiliki taraf pendidikan tinggi dan mempunyai latar belakang yang mampu memberi saingan sengit kepada lawan.
Kehadiran calon jelitawan ini bukan sahaja mampu menarik perhatian pengundi malah memberi suasana baharu kepada penduduk setempat.
Bagaimanapun, keterampilan yang menarik tidak mampu menawan hati pengundi selagi mereka tidak mendapatkan kepercayaan termasuk membuktikan kemampuan mereka sebagai wakil rakyat.
Antara calon jelitawan yang akan bertanding pada PRU kali ini ialah Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleo yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu dan Young Syefura Othman atau dikenali sebagai YB Rara akan bertanding di Bentong mewakili DAP.
SPR menetapkan hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.
PRU15 mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara iaitu calon paling ramai dalam sejarah PRU negara.— Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram