MUNGKIN ada yang pernah mendengar kata-kata: "Di sebalik kejayaan seorang lelaki, berdirinya seorang wanita di belakangnya".
Demikian frasa tersebut menegaskan bahawa, wanita berperanan penting dalam menaikkan sesebuah tamadun yang diketuai oleh kaum lelaki.
Namun, tidak semestinya wanita yang disebutkan itu merupakan pasangan hidup atau isteri kepada lelaki berkenaan.
Ia juga boleh jadi anak perempuan kepada lelaki tersebut, yang antaranya menjadi tulang belakang dalam kejayaannya.
Sebagai contoh, perkara itu boleh dilihat pada anak perempuan kepada pemimpin parti politik negara yang dilihat bukan sahaja menyokong penuh, malah turut turun padang berjuang bersama ayahanda mereka.
Berikut merupakan senarai anak pemimpin tertinggi parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dilihat umpama bapa borek, anak rintik:
1) Nurul Izzah Anwar
Detik-detik ketika Anwar (kanan) meraikan kejayaan Nurul Izzah yang menamatkan pengajiannya.
Puteri sulung kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim ini diketahui lantang bersuara sejak beliau masih remaja.
Semasa Anwar ditahan polis atas tuduhan liwat dan salah guna kuasa, Nurul Izzah dilihat sebagai harapan untuk membela nasib bapanya.
Nurul Izzah pernah berjumpa dengan Presiden Filipina, Joseph Estrada dan meminta bantuan beliau.
Nurul Izzah (kiri) bertemu Estrada (kanan) bagi membebaskan bapa beliau. — Agensi
Beliau amat aktif dalam gerakan Reformasi 1998 dan wajahnya pernah muncul dalam CNN dan BBC. Ketika itu beliau berusia 18 tahun.
Pada PRU15, Nurul Izzah yang juga penyandang kerusi Parlimen Permatang Pauh akan berdepan pertandingan empat penjuru.
Calon pesaingnya adalah Mohd Zaidi Mohd Said (Barisan Nasional(BN); Muhammad Fawwaz Mat Jan (Perikatan Nasional (PN)) dan Mohd Nasir Othman (Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang)).
Sementara itu, Anwar pula bakal merebut kerusi Parlimen Tambun menerusi pertembungan dengan Datuk Aminuddin Md Hanafiah (BN); Abdul Rahim Tahir (Pejuang) dan calon PN yang juga penyandang kerusi itu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
2) Datin Nina Sabrina Ismail Sabri
Nina (kanan) tetap turun berkempen bagi menyokong bapanya. — Instagram Nina
Walaupun dilihat tidak selantang Nurul Izzah, namun sudah pasti puteri sulung kepada Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini tidak ketinggalan memberi sokongan kepada bapanya bagi memenangi PRU15.
Menerusi Instastory usahawan itu, dia dilihat turun padang bertemu penduduk Bera, Pahang dalam sesi ramah mesra pada Jumaat.
Tangkap layar Instastory Nina ketika turun berkempen bagi menyokong bapanya.
Pertemuan itu juga ditemani bersama ibu dan adik lelakinya yang juga penyanyi, Gaddaffi atau lebih dikenali dengan panggilan Dafi.
Ismail Sabri yang juga penyandang kerusi Parlimen Bera berdepan saingan tiga penjuru pada PRU15.
Calon tiket BN ini akan berdepan Abas Awang dan Asmawi Harun masing-masing mewakili Pakatan Harapan (PH) serta Perikatan Nasional (PN).
3) Datin Paduka Marina Mahathir (GTA)
Marina (kiri) ketika melawat Dr Mahathir di Institut Jantung Negara (IJN) pada Februari 2018.
Meninjau ke media sosial Marina, dia dilihat masih belum melakukan sebarang hantaran tentang kempen PRU15 yang menyokong bapanya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Namun, melihat kepada tempoh kepimpinan Pengerusi Pejuang yang agak lama, ini tidak bermakna sokongan Marina kepada calon tertua PRU15 itu sudah hilang.
Dipercayai kini berada di luar negara, Marina menerusi hantaran di Facebook pada 28 October lalu berkongsi detik-detik beliau ketika mempromosikan buku yang ditulisnya -The Apple and The Tree: Life as Dr Mahathir's Daughter.
Difahamkan, buku tersebut berkisarkan tentang perjalanan hidup beliau serta suka duka menjadi anak pemimpin negara.
Penulisan buku tersebut membuktikan bahawa Marina sememangnya menyokong perjuangan bapanya sejak dari dahulu.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA), yang bertanding di kerusi Parlimen Langkawi bakal melalui saingan lima penjuru.
Antara calon lain bakal bersaing adalah Datuk Armishah Sirahlj (BN); Datuk Suhaimi Abdullah (PN); Zabidi Yahya (PH); dan Abdul Kadir Sainudin (Bebas).
4) Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid
Nurulhidayah (kiri) ketika menerima pangkat Leftenan Muda Askar Wataniah berdiri di sebelah bapanya.
Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semakin mendapat kekuatan apabila puteri sulungnya, Nurulhidayah aktif berkempen pada PRU15.
Menerusi laman TikTok, Nurulhidayah dilihat sempat menyanyikan lagu ketika berkempen, selain mengadakan sesi ramah mesra bersama penduduk di kawasan Parlimen Bagan Datuk.
Pada PRU15, Ahmad Zahid yang juga penyandang kerusi Parlimen Bagan Datuk bakal bertembung dengan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin; dan Perikatan Nasional (PN), Dr Nik Muhammad Faiz Na'aman.
Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail yang juga bekas Ahli Parlimen Benut turut bertanding atas tiket Bebas.
5) Najwa Mahiaddin
Tidak mustahil Najwa (kiri) menyokong Muhyiddin menerusi kaedah lain. — Agensi
Meskipun tidak melakukan sebarang hantaran tentang PRU15 di media sosial, puteri kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin ini dipercayai menyokong bapanya menerusi kaedah lain.
Najwa merupakan seorang penyanyi dan menggunakan nama pentas NJWA.
Pada Julai 2015, Najwa meluahkan rasa sedihnya apabila bapanya digugurkan dari senarai anggota Kabinet baharu, yang dilakukan oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.
"Allah lebih mengetahui," katanya menerusi laman Twitter.
Pada PRU15, Muhyiddin bakal bertanding untuk mengekalkan kerusi disandangnya di Parlimen Pagoh.
Beliau akan bertembung dengan calon BN, Datuk Seri Razali Ibrahim dan calon PH, Iskandar Shah Abd Rahman.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.
Sementara itu, tarikh pengundian awal ditetapkan pada 15 November 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram