Digugur parti, 3 calon 'ketegaq' tetap bertanding PRU15


  • Politik
  • Jumaat, 11 Nov 2022

Dari kiri: Shahidan dan Che Abdullah antara tiga calon digugurkan parti masing-masing pada PRU15.

MESKIPUN digugurkan sebagai calon parti dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), ia bukanlah pengakhiran seseorang dalam dunia politik.

Sebaliknya, ahli politik terbabit mengambil inisiatif lain untuk terus bertanding dalam pilihan raya, walaupun terpaksa bertindak untuk lompat parti atau berstatus bebas.

Tindakan ahli politik memilih untuk terus bertanding menimbulkan pelbagai persepsi orang ramai.

Bagaimanapun, keberkesanan strategi ahli politik memilih untuk bertanding dengan parti berbeza akan diketahui sebaik tamat proses pengundian.

Berikut merupakan tiga ahli politik yang digugurkan oleh parti masing-masing dan masih tetap bertanding dalam PRU15:

1) Datuk Seri Shahidan Kassim

file7nhjw1986dc1lhvkposd

Shahidan (empat dari kiri) bakal mempertahankan kerusi Parlimen Arau.

Selepas digugurkan Barisan Nasional (BN), penyandang kerusi Parlimen Arau itu akan terus bertanding di kawasan sama pada PRU15.

Shahidan sebaliknya akan bertanding menerusi tiket Perikatan Nasional (PN).

Beliau yang juga bekas Ketua Umno Bahagian Arau itu dilapor berkata, keputusan itu dibuat kerana melihat PN boleh menjadi platform yang mampu menyatukan Umno, PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Parlimen Arau akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan Shahidan, Datuk Rozabil Abd Rahman (BN) dan Fathin Amelina Fazlie, Pakatan Harapan (PH).

Pada PRU14, Shahidan menang di Parlimen Arau dengan majoriti 4,856 mengalahkan Datuk Dr Abd Rahman Daud (PKR) dan Hashim Jasin (PAS).

2) Datuk Che Abdullah Mat Nawi

file7eu3rord6epw5tbwo79

Che Abdullah (kiri) ketika bertugas sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

Selepas dipecat serta-merta daripada PAS akibat tindakan disiplin, Che Abdullah tidak hanya duduk diam.

Pada PRU15, beliau bertanding mengggunakan tiket BN bagi mengekalkan kerusi disandangnya di Parlimen Tumpat.

Beliau akan ditentang oleh Datuk Mumtaz Md Nawi (PN); Che Muhammad Aseri Che Ali, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra); Wan Johari Wan Omar (PH) dan Khairul Azuan Kamarrudin (Warisan).

Pada PRU14, bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan itu memenangi kerusi Parlimen Tumpat sebagai calon PAS.

Beliau menewaskan calon BN dan PKR dengan majoriti 17,500 undi.

Che Abdullah mendapat undi sebanyak 47,041, manakala Datuk Wan Johani Wan Hussin (BN) memperoleh 29,541 undi dan Datuk Nordin Salleh (PKR) hilang deposit selepas meraih 10,003 undi.

3) Chua Tian Chang

file7nhc0oopkdlbal6posd

Tian Chua hadir pada Hari Penamaan Calon baru-baru ini.

Akibat 'kedegilannya' yang masih mahu bertanding sebagai calon Bebas di kerusi Parlimen Batu, Tian Chua secara automatik dipecat daripada PKR.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluahkan rasa kecewa dengan tindakan antara reformis parti itu dilapor berkata, Tian Chua tidak wajar memilih haluan itu dengan membelakangi keputusan parti.

Tian Chua akur dengan sebarang tindakan disiplin parti itu terhadapnya, selepas beliau mencabar calon partinya sendiri di Parlimen Batu pada PRU15.

PKR mencalonkan P Prabakaran mewakili PH untuk bertanding di Parlimen Batu, sekali gus menjadi antara calon termuda pada PRU15.

Calon lain ialah Azhar Yahya (PN), P Naganathan (Parti Warisan Malaysia) dan peguam Wan Azliana Wan Adnan (Parti Pejuang Tanah Air).

Beberapa calon mencuba nasib atas platform Bebas, termasuk pempengaruh media sosial yang juga ahli perniagaan, Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau Cleopatra; peguam, Siti Kasim, Too Cheng Huat dan Zulkifli Abd Fatah.

Tian Chua yang pernah menyandang kerusi Parlimen Batu selama dua penggal, sebelum ini meluahkan rasa kecewa dengan senarai calon yang diumumkan kepemimpinan parti.

Pada PRU14, P. Prabakaran yang bertanding di Parlimen Batu menang dengan majoriti 24,438 undi.

Prabakaran mengalahkan tiga pencabarnya yang lain dari BN, Dominic Lau Hoe Chai; Azhar Yahya (PAS) dan VM Panjamothy (Bebas).

Prabakaran memperoleh 38,125 daripada 76,328 keseluruhan undi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram