PRU15: Tempoh kempen bermula, 5 strategi calon politik tawan hati pengundi


  • Politik
  • Isnin, 07 Nov 2022

Calon harus merancang strategi sebaik mungkin sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

SEBAIK selesai proses penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada Sabtu, calon yang bertanding mempunyai 14 hari untuk berhempas pulas menarik hati pengundi.

Tempoh berkempen itu ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selepas pengisytiharan calon yang bertanding di seluruh negara melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN di Perak, 42 kerusi di Pahang dan 15 kerusi di Perlis diumumkan.

1785427

Tempoh 14 hari itu boleh dianggap seperti permata kerana setiap detik amat berharga dan menjadi kerugian besar sekiranya calon tidak bijak merancang strategi sepenuhnya untuk menawan hati pengundi.

Berikut, Majoriti menyenaraikan lima strategi calon menawan hati pengundi ketika tempoh berkempen:

924634B6-F150-4022-917E-EE8DB8A12CE9

Melawat kawasan dan bersemuka

Memulakan kempen dengan melawat kawasan dan bersemuka dengan pengundi merupakan strategi paling efektif untuk menawan hati pengundi sepanjang tempoh 14 hari berkempen.

Pengundi sudah pastinya mahu berjumpa dan berkenalan dengan calon yang menjaga kawasan mereka dalam tempoh lima tahun.

Tugas calon untuk beramah mesra dengan pengundi di kawasan tersebut sedikit sebanyak mampu mengetahui luahan yang terbuku di dalam hati pengundi termasuk masalah yang dihadapi penduduk setempat.

Kebiasaannya, calon tempatan menjadi tambatan pengundi namun sekiranya calon luar itu mampu menambat hati pengundi sudah pastinya peluang meraih kemenangan sedikit terpancar.

Bagaimanapun, sekiranya calon gagal menjaga dan menyelesaikan masalah dihadapi penduduk selepas dipilih menjadi wakil rakyat, masa depan mereka untuk pilihan raya akan datang menjadi sedikit sukar.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 7.22.31 PM

Ceramah dan manifesto

Setiap parti yang bertanding akan menyediakan manifesto sebagai modal tawaran kepada rakyat sekiranya mereka meraih kemenangan dalam PRU.

Manifesto ini dijadikan 'kiblat' kepada parti dalam usaha membalas jasa dan budi rakyat memilih mereka untuk mentadbir.

Namun, kegagalan memenuhi janji yang ditaburkan selepas diberi mandat akan menjadi dendam kesumat rakyat yang sukar dihilangkan kesannya.

Sementara ceramah pula menjadi medan perang calon bertanding untuk memberi keyakinan kepada pengundi memilih mereka selain menjelaskan sesuatu perkara kepada rakyat dengan lebih dekat.

Calon yang bijak berkata-kata akan menjadi pilihan kerana mampu meyakinkan pengundi namun setiap perkataan yang dikeluarkan harus diterjemahkan kepada rakyat agar terus diberi kepercayaan memimpin pada masa depan.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 7.17.13 PM

Media sosial dan papan iklan

Seiring dengan peredaran zaman, media sosial menjadi alternatif terbaik semasa tempoh berkempen kerana mampu disampaikan secara luas dan cepat.

Calon yang memanfaatkan penggunaan aplikasi teknologi mampu memberi kelebihan terutamanya dalam memberi perkembangan terkini.

Pada masa sama, media sosial mampu memberi keburukan sekiranya calon tersalah langkah dan ia sesuatu yang merugikan kepada individu serta parti itu sendiri.

Pengundi juga harus bijak menilai mana yang baik atau sebaliknya kerana dalam tempoh 14 hari berkempen ini akan muncul pelbagai dakwaan. Pastikan kesahihan kandungan dan tidak menyebarkan kepada individu lain.

Penggunaan papan iklan ketika tempoh berkempen juga mampu menarik perhatian pengundi sebagaimana yang digunakan penyandang kerusi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai salah satu strateginya menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

A teller, Rozana Delrosario showing some ringgit note and US dollar note on the story of ringgit up verses US Dollar at Bangsar, Kuala Lumpur. FAIHAN GHANI/The Star.

Bantuan dan wang tunai

Tempoh berkempen boleh menjadi 'keuntungan' bagi penduduk setempat kerana calon bertanding akan mula bertemu dan menghulurkan bantuan.

Penduduk setempat akan dikunjungi calon selain diberi bantuan tidak kira dari segi wang ringgit atau sokongan moral.

Calon akan menghulurkan bantuan sebagai ihsan dan ada yang mengharapkan dengan langkah tersebut mampu menambat hati pengundi.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 7.23.56 PM

Jentera parti

Selain parti dan calon, jentera parti memainkan peranan yang sangat penting dalam menentukan kemenangan pada PRU kali ini.

Kekuatan jentera sedikit sebanyak melambangkan kekuatan parti dan calon yang bijak memimpin jentera mampu memudahkan perjalanan berkempen sepanjang 14 hari ini.

Jentera akan terlibat menghiasi kawasan kempen dengan bendera dan melakukan persiapan di peringkat akar umbi termasuk memberi nasihat terbaik kepada calon untuk menambat hati pengundi.

Laungan dan sokongan jentera sudah pastinya akan memeriahkan suasana sepanjang tempoh berkempen, pada masa sama memberi semangat kepada calon untuk berjuang.

Untuk rekod, tempoh kempen PRU15 selama 14 hari bermula secara rasmi sebaik selesai proses pencalonan hingga pukul 11.59 malam, 18 November nanti.

Hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pula pada 15 November ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram