Isteri syurga cekal jaga suami terlantar lumpuh, 6 orang anak


  • Massa
  • Ahad, 06 Nov 2022

Perkeso tampil menghulurkan bantuan kepada Hairol dan isteri untuk meringankan beban keluarga itu.

KETABAHAN seorang isteri menjaga suami yang terlantar sakit akibat penyakit angin ahmar meruntun jiwa orang ramai.

Kecekalan wanita itu juga tidak terhenti di situ, sebaliknya terus kuat membesarkan enam orang anak yang masih kecil.

Wanita tabah tersebut, Aswiana Md Rawi, 40, berkata, suaminya, Hairol Safuan Mohamad Pungut, 42, kini hanya mampu terbaring selepas diserang angin ahmar beberapa tahun lalu.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 4.12.03 PM (1)

Pegawai Perkeso tampil membantu Hairol yang diserang angin ahmar.

"Suami sebelum ini bekerja di sebuah syarikat namun diberhentikan selepas diserang angin ahmar dan dia merupakan tunjang utama keluarga kerana saya tidak bekerja.

"Suami tidak mampu menguruskan diri kerana anggota badan tidak lagi kuat dan saya yang menjaga suami sepenuhnya," katanya kepada Majoriti.

Kata Aswiana, dia harus kuat menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan dalam masa yang sama, memikul tugas seorang ibu demi kelangsungan hidup.

"Bukan mudah menjadi tulang belakang keluarga namun ini ujian yang saya harus tempuhi. Saya sentiasa berdoa agar terus kuat menghadapi dugaan ini.

"Selagi kudrat ini mampu, saya akan terus menjaga suami sehabis baik dan besarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang. Semoga suatu hari nanti akan muncul pelangi selepas hujan," luahnya.

Tambah Aswiana, dia sangat menghargai kehadiran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang menghulurkan bantuan.

"Saya bersyukur atas bantuan yang diberikan Perkeso. Kehadiran mereka sedikit sebanyak mampu meringankan beban keluarga.

"Saya juga berharap suami kembali bersemangat untuk pulih dan bangkit dari ujian untuk hidup seperti biasa," jelasnya.

Sementara itu, Ketua Cawangan Skuad Prihatin dan Sinergi Perkeso, Ismail Abi Hashim berkata, pihaknya mengharapkan Hairol Safuan terus bersemangat untuk kembali sembuh demi isteri serta anak-anaknya.

WhatsApp Image 2022-11-06 at 4.19.15 PM

Ismail Abi Hashim

"Hairol bakal menerima pencen ilat secara berkala sebanyak RM2,377.92 sebulan dan Elaun Layanan Sentiasa sebanyak RM500 sebulan menjadikan bayaran yang akan diterima setiap bulan sebanyak RM2,877.92.

"Perkeso juga akan menerima bekalan peralatan pemulihan seperti susu, lampin pakai buang, katil hospital dan peralatan lain yang diperlukan," jelasnya.

Tambah Ismail, Perkeso juga akan membayar Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) kepada penerima kerana kehilangan pekerjaan akibat penyakit yang dialami.

"Perkeso telah membayar dua bulan pertama EMP sebanyak RM3,141.68 selama enam bulan. Pada masa sama, Perkeso akan membayar tambahan 3 bulan menjadikan keseluruhan pembayaran sebanyak RM10,150.04

"Kami di Perkeso berharap dengan bantuan ini dapat membantu meringankan beban keluarga penerima terutamanya isteri demi kelangsungan hidup," katanya.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram