PROSES penamaan calon yang berlangsung pada Sabtu menyaksikan pelbagai insiden berlaku sehingga menjadi perbualan netizen di media sosial.
Bermula dengan insiden tarik diri daripada bertanding sehinggalah kekecohan yang tercetus di Tenom, Sabah menjadi antara topik yang heboh dibincangkan netizen.
Insiden ini sudah pastinya akan tercoret dalam lipatan sejarah Pilihan Raya Umum (PRU) dan dapat dijadikan panduan kepada generasi akan datang.
Berikut, Majoriti menyenaraikan lima insiden yang berlaku sepanjang proses penamaan calon:
1. Diva AA tarik diri
Pengacara sensasi, Azwan Ali atau lebih dikenali sebagai Diva AA mengumumkan menarik diri daripada bertanding merebut kerusi Parlimen Gombak.
Adik kepada penyandang kerusi Parlimen Gombak, Datuk Seri Azmin Ali itu berkata, tindakan itu dilakukan selepas dia bermimpi arwah ibunya yang menasihatkannya untuk tidak bertanding.
Azwan yang tiba di pusat penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu seawal pukul 6 pagi membuat pengumuman sebelum proses pendaftaran penamaan calon dilakukan.
“Saya membuat keputusan untuk menarik diri daripada bertanding selepas mendengar bisikan daripada Allahyarham mak, Mak Tom. Keputusan ini dibuat selepas subuh tadi.
“Tak kisahlah orang nak cakap merepek atau tahyul, itu mak aku. Bukan mak kau. Apa pun saya menyokong calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amiruddin Shari,” katanya dengan diiringi tangisan.
Azwan turut menafikan penarikan diri berikutan tiada wang pendahuluan, memandangkan calon perlu membayar RM10,000 untuk bertanding.
Parlimen Gombak menyaksikan pertembungan antara penyandang, Perikatan Nasional, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; PH, Datuk Seri Amirudin Shari; Barisan Nasional, Datuk Megat Zulkarnain Omardin; Gerakan Tanah Air,Aziz Jamaludin Mohd Tahir dan calon bebas, Zulkifli Ahmad.
2. Calon OKU gagal bertanding angkara lewat dua minit
Hasrat seorang pesara sektor swasta yang juga orang kelainan upaya (OKU) penglihatan, Habib Bourguiba Abd Hamid bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Titiwangsa tidak kesampaian selepas tiba lewat di Pusat Penamaan Calon.
Habib Bourguiba, 53, tiba pukul 10.02 pagi iaitu dua minit lewat di SMK Aminuddin Baki menyebabkan kertas penamaan calon tidak dapat dihantar.
"Saya keluar rumah pukul 8.50 pagi namun kerana kesesakan, kami terpaksa berpusing-pusing mencari jalan ke pusat penamaan calon, menyebabkan saya tiba sekitar pukul 9.55 pagi.
"Ketika berjalan menghampiri pintu pagar PPC, pegawai pengurus PPC mengumumkan waktu penyerahan borang pencalonan sudah ditutup," katanya.
Terdahulu, Habib Bourguiba memaklumkan hasratnya bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Titiwangsa kerana mahu memperjuangkan hak OKU, anak yatim dan warga emas.
3. Kekecohan akibat provokasi di Tenom, Sabah
Proses penamaan calon di Dewan DSP Antanom kecoh apabila sepasukan penyokong dipercayai menimbulkan provokasi sehingga memaksa Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) melepaskan gas pemedih mata.
Kekecohan itu berlaku difahamkan susulan penolakan pencalonan Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony ingin bertanding bagi kerusi Parlimen Tenom.
Penolakan pencalonan itu dipercayai menyebabkan penyokong parti tersebut menimbulkan kekecohan.
Sebelum ini, Peter yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu berjaya menggantung hukuman penjara yang disabitkan terhadapnya atas kesalahan memalsukan dokumen palsu berhubung kontrak kerja penyelenggaraan sistem di Universiti Malaysia Sabah.
Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 1 Ogos lalu menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melalap.
4. Parlimen Batu berpesta calon
Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertembungan paling ramai dengan 10 pencalonan yang bertanding pada PRU15.
Penyandang Parlimen Batu, P. Prabakaran yang bertanding atas tiket PH bakal menghadapi sedikit kesukaran selepas bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang pernah menyandang kerusi Parlimen itu dari 2008 hingga 2018, kembali bertanding sebagai calon Bebas.
Tumpuan bukan sahaja terarah kepada pertembungan dua personaliti tersebut namun bakal menyaksikan penampilan beberapa muka baharu yang bertanding sebagai calon Bebas, seperti peguam Siti Kasim dan pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra.
Selain itu, turut merebut kerusi Batu ialah Datuk A Kohilan Pillay (BN), Azhar Yahya (PN), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), P Naganathan (Warisan), Zulkifli Abd Fatah (Parti Rakyat Malaysia) dan Too Cheng Huat (Bebas).
5. Pertembungan ayaq lawan ayor
Penamaan calon di Parlimen Tambun turut menjadi perbualan netizen berikutan pertembungan nama-nama besar selain kaitan dengan pelbagai isu dan kontroversi.
Kerusi Parlimen Tambun secara tiba-tiba menjadi tumpuan selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bertanding di kawasan tersebut.
Penyandangnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu memberi respons segera dan sempat berseloroh mengatakan penduduk Tambun menyebut perkataan air sebagai 'ayor', dan bukannya 'ayaq' merujuk kepada Anwar yang berasal dari Pulau Pinang.
Menariknya, sehari selepas Menteri Belia dan Sukan itu mengeluarkan kenyataan tersebut, satu papan iklan, memaparkan gambar Ahmad Faizal dengan tulisan "Ayor bukan ayaq" dinaikkan di pekan Tambun.
Untuk rekod, tempoh kempen PRU15 selama 14 hari bermula secara rasmi sebaik selesai proses pencalonan hingga pukul 11.59 malam, 18 November nanti.
Hari pengundian PRU15 pada 19 November dan pengundian awal pula pada 15 November ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram